Remaja sempat bantu ibu basahkan muka terkena percikan api

Keadaan ruang tamu rumah Sainuri yang terbakar dipercayai berpunca dari kotak fius - Foto: Bomba
Keadaan ruang tamu rumah Sainuri yang terbakar dipercayai berpunca dari kotak fius - Foto: Bomba
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja perempuan sempat membasahkan muka ibunya yang melecur akibat terkena percikan api daripada kotak fius sebelum di bawa ke hospital dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Chempaka di sini pada Sabtu.

Nur Sorfina Zahra Syaiful Azwa, 15, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika dia dan adiknya yang berusia 11 tahun berada di luar rumah sebelum mendengar panggilan ibunya.

Menurutnya ketika kejadian, ibu mereka, Sainuri Hassan, 44, yang dipanggil umi berada di ruang tamu rumah sewa.

"Kami berlari mendapatkan umi yang sudah melecur pada muka dan tangan. Percikan api keluar secara tiba-tiba dari kotak fius," katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun katanya, fius itu mengeluarkan asap secara tiba-tiba dan ibunya mendekati untuk melihat dengan lebih jelas sebelum percikan api terkena pada wajah dan tangannya.

Sainuri dibawa ke hospital untuk rawatan dengan kenderaan bomba
Sainuri dibawa ke hospital untuk rawatan dengan kenderaan bomba

"Kami bantu umi pergi ke paip air dan membasahkan mukanya sebelum kenderaan bomba tiba dan membawa umi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," jelasnya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Asri Harun berkata, bomba menerima panggilan pada jam 10.13 pagi sebelum sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, api dapat dikawal pada jam 10.27 pagi dan operasi tamat jam 10.38 pagi.

"Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan 30 peratus ruang tamu dipercayai berpunca dari kotak fius yang terbakar dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!