Seleweng dana latihan penerbangan: MARA sudah ambil tindakan undang-undang

MARA telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat bumiputera disyaki menyeleweng dana program latihan penerbangan yang sepatutnya dibayar kepada sebuah akademi penerbangan di Republik Czech. - Gambar hiasan
MARA telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat bumiputera disyaki menyeleweng dana program latihan penerbangan yang sepatutnya dibayar kepada sebuah akademi penerbangan di Republik Czech. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat bumiputera disyaki menyeleweng dana program latihan penerbangan yang sepatutnya dibayar kepada sebuah akademi penerbangan di Republik Czech.

MARA dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan organisasi itu telah memfailkan writ saman pada 7 Jun 2022 terhadap syarikat terbabit antaranya menuntut €478,349.14, ganti rugi teladan, kos dan faedah.

"Penghakiman ingkar susulan kegagalan memfailkan pembelaan diperoleh terhadap syarikat (defendan pertama) dan seorang daripada pengarah syarikat itu (defendan kedua) pada 19 September 2022. Perbicaraan penuh terhadap seorang lagi pengarah (defendan ketiga) telah selesai pada 15 Julai 2024 dan tarikh keputusan ditetapkan pada 9 Januari 2025.

"Pelaksanaan penghakiman melalui writ penyitaan dan penjualan (WSS) telah diambil terhadap syarikat terbabit pada 22 Januari 2024, tetapi aset syarikat itu telah dilupuskan. Notis Kebankrapan telah difailkan terhadap defendan kedua,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut laporan polis mengenai kes itu juga telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada 28 Januari 2022 selain memaklumkan pegawai MARA tidak berhadapan sebarang laporan salah laku yang difailkan oleh mana-mana pihak.

Menurut MARA, susulan laporan polis itu, MARA telah dipanggil bagi membantu siasatan dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, MARA memaklumkan 39 pelajar program latihan penerbangan tajaannya berjaya menghabiskan pengajian masing-masing.

Bernama sebelum ini melaporkan 50 bakal juruterbang mendakwa kerugian apabila sebuah syarikat bumiputera menyalah urus dana pelatih penerbangan selepas mereka mendaftar dengan syarikat itu antara 2019 hingga 2022.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu dikatakan bekerjasama dengan MARA untuk menghantar pelajar menjalani latihan di Republik Czech, namun ramai pelajar termasuk bukan tajaan MARA mendakwa gagal menamatkan latihan apabila syarikat itu tidak membayar kepada akademi latihan penerbangan di sana. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!