Nekad 'larikan' bayi pramatang berusia 17 hari
AMSTERDAM - Ia sememangnya ajaib. Seorang bayi pramatang yang 'dilarikan' kedua-dua ibu bapanya dari sebuah hospital di Paris ditemui masih hidup di sebuah hotel di Amsterdam pada Jumaat, empat hari selepas kehilangannya hingga mencetuskan operasi rentas sempadan.
"Bayi digelar Santiago itu kini dimasukkan semula ke hospital di Belanda memandangkan masih memerlukan penjagaan rapi.
"Kami telah menahan seorang lelaki dan wanita kerana menculik bayi pramatang itu," kata Ketua Pendakwa Raya di jabatan Seine-Saint-Denis di utara Paris, Eric Mathais.
Difahamkan, Santiago berusia 17 hari ketika ibu bapanya bertindak melarikannya dari unit neonatal di Hospital Robert Ballanger di Aulnay-sous-Bois di timur laut Paris pada awal minggu lalu.
Seramai tiga suspek termasuk seorang wanita yang ada kaitan dengan kedua-dua ibu bapa Santiago turut ditahan pada Selasa lalu selepas mereka dipercayai bersubahat untuk membawa lari bayi berkenaan ke Belgium.
Motif sebenar tindakan itu tidak diketahui, namun siasatan awal mendapati ibunya yang berusia 25 tahun dan bapanya berumur 24 tahun mungkin bimbang jika mereka hilang hak penjagaan ke atas Santiago. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!