Aura Ernie Zakri
USAHA tanpa jemu adalah kunci untuk membuka pintu kejayaan. Mungkin bait-bait itu sesuai untuk mencerminkan perjalanan penyanyi hebat bernama Ernie Zakri.
Jika diselak lembaran diari seninya, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu sudah melalui pelbagai onak, duri dan ranjau.
Pernah jua hampir berputus asa tatkala bakatnya tidak mendapat penghargaan umum, tetapi berkat sokongan dan dorongan ibu tercinta, Rafiaah Mohamed, membawa wanita berusia 32 tahun itu berada di tempatnya sekarang.
Kini, kemampuannya tidak lagi dipertikai, bahkan peminat juga meletakkan kepercayaan penuh kepada penyanyi bernama Ernie Zakri.
Buktinya, dalam masa tujuh jam tiket Aura: Ernie Zakri Live in Concert habis dijual dan ramai yang meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat sama-sama menyaksikan konsert solo pertama Ernie di Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre pada 25 Januari depan.
"Jujurnya tidak pernah saya bayangkan tiket saya akan habis terjual dalam masa tujuh jam, saya bayangkan dalam masa sebulan, saya akan berusaha untuk menghabiskan penjualan tiket.
“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang luar biasa daripada semua. Ia adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan karier saya melalui konsert ini.
“Bagi saya, setiap tiket yang terjual bukan sekadar nombor, tetapi perlambangan kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasi saya selama ini," katanya.
Ernie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert solonya di sebuah hotel di Petaling Jaya pada baru-baru ini.
Ditanya pernahkan beliau terbayangkan akan mengadakan konsert solo sendiri selepas segala pahit jerih yang dilalui, isteri kepada Syamel itu pantas menggelengkan kepala.
Dengan senyuman manis, anak saudara kepada penyanyi terkemuka, Ziana dan Anuar Zain itu berkata, beliau menganggap momen ini sebagai hadiah daripada ALLAH SWT.
"Sejak awal perjalanan karier saya, memang banyak yang ingin saya capai, tetapi tidak pernah ada dalam kepala saya untuk mengadakan konsert, apatah lagi tiket habis terjual dalam masa tujuh jam.
“Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini," jelasnya.
Tidak mahu menjanjikan bulan bintang buat peminatnya, pelatun Hal Hebat itu berkata, apa yang diharapkan, dapat menyajikan satu malam penuh magis menampilkan pelbagai lagu hit seperti Ku Bersuara, Gundah dan Boneka serta lagu daripada album Aura dipersembahkan secara eksklusif untuk konsert tersebut nanti.
"Ramai yang tanya ada ke Syamel nanti, setakat ini segala perbincangan sudah dibuat, cuma ada atau tidak Syamel nanti, tunggu sahaja konsert berlangsung.
"Saya tidak mahu janjikan banyak perkara, apa yang boleh saya katakan, saya hanya mahu menjadi Ernie Zakri di atas pentas dan bila saya sampaikan lagu atau bercerita mengenai lagu itu, peminat akan memahaminya.
"Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan, dan sambutan penuh emosi yang kita dapat nikmati bersama,” katanya yang kini giat melakukan persiapan menjelang konsert tersebut.
Sokongan
Masih tidak putus berbual mengenai konsert solonya, Ernie meluahkan rasa terharu apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyatakan sokongan terhadapnya.
Secara peribadi ujar Ernie, sokongan seperti perlu didedikasikan sesiapa sahaja memandangkan industri seni tempatan tidak besar mana.
"Kalau dibandingkan industri kita dengan industri luar seperti Indonesia contohnya, memang jauh berbeza. Jadi aura seperti inilah yang perlu diberikan oleh semua orang.
"Bukan hanya dalam industri seni, tetapi kita dalam satu masyarakat, raikanlah perjalanan setiap orang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!