Motivasi Selangor melonjak tahap maksimum

Kemenangan ke atas Jeonbuk Hyundai Motors membarakan keyakinan pemain-pemain Selangor untuk melakar keputusan positif berdepan pendahulu Liga Super, JDT di Petaling Jaya pada Ahad. Gambar kecil: Mahfizul
Kemenangan ke atas Jeonbuk Hyundai Motors membarakan keyakinan pemain-pemain Selangor untuk melakar keputusan positif berdepan pendahulu Liga Super, JDT di Petaling Jaya pada Ahad. Gambar kecil: Mahfizul
A
A
A

SELANGOR FC berada dalam motivasi terbaik untuk melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kancah Liga Super di laman sendiri hujung minggu ini.

Kemenangan 2-1 ke atas Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) Rabu lalu melonjakkan semangat pemain untuk melakar keputusan positif di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, di sebalik kecederaan beberapa pemain, skuad Gergasi Merah optimis mereka yang bakal diturunkan oleh jurulatih, Nidzam Jamil mampu menggalas tugas dengan baik.

“Moral pemain ketika ini sangat baik. Kemenangan ke atas kelab dari Korea Selatan memberi motivasi terbaik buat para pemain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sebagai rekod, Selangor tumpas 1-6 kepada JDT dalam aksi final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil Ogos lalu.

Mahfizul bagaimanapun sedar, Selangor FC bakal berdepan tentangan sengit pasukan lawan yang mempunyai pengalaman beraksi dalam perlawanan kompetitif di pentas Asia.

“Kita akui JDT mempunyai pemain-pemain yang bagus dan mempunyai lebih pengalaman beraksi terutama dalam perlawanan berprofil tinggi,” katanya.

Di sebalik status itu, beliau berharap para pemain tidak berasa gentar sebaliknya menanam tekad untuk memperagakan aksi terbaik sebagai hadiah buat para penyokong skuad Gergasi Merah.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau percaya jurulatih mempunyai ramuan tersendiri untuk berdepan skuad Harimau Selatan itu.

“Harapan kita pemain mampu melaksanakan taktikal serta strategi perlawanan dan mendapatkan keputusan yang disasarkan mengikut prestasi yang ditunjukkan.

“Apa sahaja keputusan perlawanan bukan bermakna kita telah berputus asa, sebab liga masih panjang.

“Peluang untuk membaiki prestasi sentiasa dilaksanakan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pengurusan kelab,” katanya.

Mahfizul menjelaskan, kapten, Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal sudah menjalani latihan bersama rakan sepasukan, namun keputusan untuk menurunkan mereka terserah kepada jurulatih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!