Tuah sertai BRICS, Malaysia boleh jual terus getah kepada Rusia - MRC

Mohamad Suparadi (tengah) bersama pengamal media Kelantan semasa Majlis Jalinan Mesra Antara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dengan pengamal media negeri ini di Kota Bharu pada malam Sabtu.
Mohamad Suparadi (tengah) bersama pengamal media Kelantan semasa Majlis Jalinan Mesra Antara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dengan pengamal media negeri ini di Kota Bharu pada malam Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Lembaga Amanah Majlis Getah Malaysia (MRC), Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor menyifatkan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS memberi tuah kepada industri getah apabila bahan mentah keluaran negara itu boleh dijual terus kepada Rusia.

Beliau berkata, hal ini kerana urus niaga getah antara Malaysia dengan Rusia perlu dilakukan dengan bantuan negara China selepas 'dicengkam' Amerika Syarikat dan Eropah.

"Kesannya, Malaysia tidak boleh bekerjasama dengan Rusia dan negara-negara di Asia Tengah. Perkara ini merupakan halangan terbesar buat negara.

"Alhamdulillah, situasi itu menjadi perkara baharu buat negara," katanya kepada pemberita semasa Majlis Jalinan Mesra Antara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dengan pengamal media negeri ini di sini pada malam Sabtu.

Menurut beliau, hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dan menerusi penyertaan Malaysia ke dalam BRICS membolehkan negara menerima bayaran secara terus.

Ujarnya, ia dilakukan menerusi pertukaran wang negara berkenaan dengan Malaysia.

Mohamad Suparadi yang merupakan Pengerusi MPN Kelantan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri getah untuk membawa lebih banyak pasaran ke Rusia dan Asia Tengah.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada mereka yang hadir pada Majlis Jalinan Mesra Antara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dengan pengamal media negeri ini di Kota Bharu pada malam Sabtu.
Sebahagian daripada mereka yang hadir pada Majlis Jalinan Mesra Antara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dengan pengamal media negeri ini di Kota Bharu pada malam Sabtu.

"Perbincangan itu akan dilakukan pada Isnin setelah diluluskan oleh kepimpinan negara.

"Pada masa sama kita dengan LGM (Lembaga Getah Malaysia) sudah menjumpai teknologi baharu berkait sistem torehan dalam meningkatkan lagi pengeluaran getah negara," katanya.

Menurut Mohamad Suparadi, ia melibatkan pengeluaran lateks yang mempunyai harga lebih baik berbanding getah biasa.

Malaysia pada Khamis diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang disenaraikan secara rasmi dalam BRICS sebagai negara rakan, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima daripada perdagangan global.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, penyertaan Malaysia dalam BRICS merupakan satu langkah ke hadapan bagi membentuk zon ekonomi baharu supaya tidak bergantung kepada mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, penyertaan tersebut bakal mengubah perspektif dasar ekonomi tradisional yang berpaksikan negara Barat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!