Turkiye sedia perkukuh hubungan dengan ASEAN

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Republik Turkiye ke-101 pada Selasa ini, negara itu menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia pada 2025. Foto hiasan
Sempena sambutan Hari Kebangsaan Republik Turkiye ke-101 pada Selasa ini, negara itu menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia pada 2025. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena sambutan Hari Kebangsaan Republik Turkiye ke-101 pada Selasa ini, negara itu menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia pada 2025.

Ini juga bertepatan sempena ulang tahun enam dekad hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel menekankan hubungan persaudaraan yang lama terjalin antara Turkiye dan Malaysia sejak abad ke-16, apabila empayar Uthmaniyyah dan Kesultanan Johor menjalin hubungan.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa Turkiye bersedia menyokong kepimpinan Malaysia dalam ASEAN, dengan menyatakan ASEAN adalah platform penting bagi memperkukuh kerjasama serantau.

Malaysia juga merupakan rakan dagangan terbesar Turkiye dalam kalangan negara ASEAN.

"Turkiye berhasrat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ASEAN semasa Malaysia memegang jawatan pengerusi pada 2025," kata Yuksel kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini, sambil menambah bahawa Asia memainkan peranan penting dalam dasar luar Turkiye.

Sejak 2017, Turkiye menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN dan berharap untuk mencapai status Rakan Dialog penuh tidak lama lagi.

Mengenai hubungan Turkiye-Malaysia, Yuksel berkata kemajuan ketara dalam sektor perdagangan, dengan jumlah dagangan pada 2023 mencecah US$4.6 bilion (RM19.78 bilion).

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua negara baru-baru ini memperluaskan Perjanjian Perdagangan Bebas mereka bagi merangkumi perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.

Beliau turut merujuk kepada lawatan peringkat tinggi antara pemimpin, termasuk dua lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye tahun lalu.

Yuksel menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia selepas tragedi gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye pada Februari 2023, dengan Malaysia menghantar pasukan mencari dan menyelamat serta mengendalikan sebuah hospital lapangan.

Beliau turut mencadangkan kedua-dua negara memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi.

Sementara itu, Yuksel turut menyuarakan hasrat untuk meningkatkan pertukaran pelajar dan menekankan hubungan kukuh dalam sektor pelancongan, dengan lebih 95,000 pelancong Malaysia melawat Turkiye pada 2023.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Republik Turkiye ke-101, Yuksel menegaskan komitmen negara itu terhadap kestabilan serantau dan global serta menyokong komuniti tertindas di seluruh dunia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!