Hubungan ekonomi AS-Malaysia wujudkan 312,000 pekerjaan baharu

Hubungan ekonomi antara AS dan Malaysia telah berkembang dengan pesat sepanjang dekad yang lepas, dengan lebih 312,000 peluang pekerjaan diwujudkan. Gambar hiasan
Hubungan ekonomi antara AS dan Malaysia telah berkembang dengan pesat sepanjang dekad yang lepas, dengan lebih 312,000 peluang pekerjaan diwujudkan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan ekonomi antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia telah berkembang dengan pesat sepanjang dekad yang lepas, dengan lebih 312,000 peluang pekerjaan diwujudkan, menjadikannya sebagai sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia.

Kaunselor Ekonomi di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Dave Williams berkata, syarikat Amerika telah mengumumkan lebih RM200 bilion pelaburan baharu sejak 2021, dengan 72 peratus datang daripada syarikat Fortune 500.

"Untuk tahun ini sahaja, Google, Microsoft, Amazon dan Oracle telah mengumumkan pelaburan bernilai lebih AS$16 bilion (RM69) di Malaysia.

"Pelaburan berkualiti ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi tempatan tetapi juga mewujudkan ribuan pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pengumuman itu dan kemasukan pelaburan utama baharu di Malaysia menggariskan keyakinan kukuh syarikat AS terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.

"Syarikat AS tertarik dengan tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi, penguasaan bahasa Inggeris yang meluas, lokasi strategik dan rangkaian pembekal serta rakan kongsi rantaian bekalan yang mantap,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyertaan pemimpin utama Malaysia yang lain dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2023 mengukuhkan kepentingan APEC.

Ini susulan selepas pulang dari San Francisco, Perdana Menteri mengumumkan komitmen pelaburan baharu berbilion-bilion daripada syarikat-syarikat AS, menonjolkan faedah ketara penglibatan Malaysia dalam APEC, katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Oktober, Malaysia dan AS mengesahkan bahawa pembangunan perdagangan dan hubungan ekonomi merupakan aspek penting dalam mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dan mengalu-alukan perbincangan lanjut mengenai perdagangan dan pertanian.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama sempena Dialog Pegawai Kanan Malaysia-AS yang keenam baru-baru ini, AS memuji Malaysia mengenai usahanya untuk meningkatkan kemampanan melalui pengiktirafan sistem pensijilan mampan, termasuk kayu dan produk minyak sawit.

Kedua-dua negara juga berjanji untuk meneroka kemungkinan kerjasama bagi meningkatkan kemampanan, katanya.

AS dan Malaysia juga menyerlahkan minat untuk meneroka kerjasama selanjutnya dalam sains dan teknologi dengan mengiktiraf potensi sinergi dalam angkasa lepas, bioteknologi, pertanian, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, pembinaan kapasiti, kerjasama penjagaan kesihatan dan kerjasama penyelidikan vaksin.

Amerika Syarikat antara pelabur asing terbesar di Malaysia, dengan pelaburan langsung berjumlah AS$21.53 bilion (RM91 bilion) pada 2023. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!