Polis buru suspek utama kes culik warga China

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEPANG - Polis sedang memburu suspek utama disyaki terbabit dalam kes culik lelaki warga China berhampiran Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Mex pada 18 Oktober lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, pihaknya akan memaklumkan jika ada perkembangan terkini sekiranya suspek utama (mastermind) ditangkap.

"Setakat ini, seramai lapan individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes culik itu.

"Kesemua suspek masih direman bagi membantu siasatan. Suspek utama pula sedang dikesan," katanya ringkas ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Jumaat, media melaporkan lima lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes culik berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, empat suspek warga China ditahan reman sehingga Isnin manakala warga tempatan ditahan sehingga Selasa.

Hussein berkata, siasatan mendapati suspek menahan kenderaan e-hailing dinaiki mangsa yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 7.30 pagi.

Mangsa dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke China.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun sebaik melepasi plaza tol Putrajaya, kenderaan dinaiki mangsa ditahan sebuah Toyota Velfire dan melarikannya.

Hussein berkata, keesokan harinya, polis menangkap empat lelaki warga China sebelum menemui mangsa yang cedera kerana terjun bangunan ketika cuba melarikan diri.

Difahamkan, suspek mengurung mangsa di sebuah premis di Kuala Lumpur sebelum menghantar mangsa yang cedera ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada 22 Oktober lalu, polis menangkap seorang lagi lelaki warga tempatan.

Siasatan mendapati motif penculikan adalah pemerasan terhadap keluarga mangsa yang kononnya mangsa berhutang dengan suspek dan meminta wang tebusan dianggarkan RM300,000.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini keluarga mangsa belum membayar wang tebusan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!