[VIDEO] Muruku air tangan tiga kaum di Taman Rasa Sayang

A
A
A

SEREMBAN - Semangat perpaduan penduduk Taman Rasa Sayang di sini terserlah apabila mereka bergotong-royong memasak muruku sempena sambutan Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi.

Program yang kali kedua dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) itu bertujuan meraikan penduduk India di situ.

Penduduk berbilang kaum di Taman Rasa Sayang bergotong-royong membuat muruku sempena sambutan Deepavali.
Penduduk berbilang kaum di Taman Rasa Sayang bergotong-royong membuat muruku sempena sambutan Deepavali.

Pengerusi KRT, Zulkifli Muhamed berkata, program yang diberi nama Muruku Perpaduan itu mungkin dilihat hanya program biasa, tetapi itu ruang untuk belajar kebudayaan kaum-kaum lain di negara ini.

"Sebelum ini, kita buat program bubur lambuk perpaduan yang juga melibatkan penduduk Cina dan India di taman ini.

"Kami bergotong-royong memasak dan membungkusnya bersama-sama dan saya nampak ia lebih mendekatkan hubungan berbilang kaum di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Penduduk Melayu dan Cina teruja belajar membuat muruku daripada penduduk India.
Penduduk Melayu dan Cina teruja belajar membuat muruku daripada penduduk India.

Tambahnya, meskipun penduduk India di kawasan perumahan itu hanya terdapat lima keluarga, namun mereka tidak pernah disisihkan malah sentiasa diraikan setiap kali menjelang Deepavali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk, R Velu, 65, berkata, kefahaman mengenai kebudayaan dan cara hidup kaum-kaum lain dapat mengelakkan prasangka sesama mereka.

Penduduk Cina teruja belajar membuat muruku daripada penduduk India
Penduduk Cina teruja belajar membuat muruku daripada penduduk India

"Macam program hari ini (Ahad), penduduk Melayu dan Cina belajar buat muruku dengan penduduk India sempena Deepavali.

"Ia satu suasana yang cukup harmoni dan boleh merapatkan lagi hubungan antara kaum di sini," katanya.

Dia yang juga pesara tentera berkata, muruku yang dibuat secara bergelung itu juga sebenarnya membawa simbol perpaduan.

"Kalau gelungan muruku itu pecah, ia tidak kelihatan tidak sempurna dan ia samalah juga dengan hubungan berbilang kaum di negara ini," katanya.

Suri rumah, Liow Fong Yoon, 58, pula berkata, dia teruja apabila kali pertama berpeluang belajar membuat muruku yang merupakan makanan tradisi masyarakat India.

Ujarnya, ia boleh dijadikan ruang untuknya belajar kebudayaan kaum terbabit.

"Saya sudah duduk di taman perumahan ini lebih 20 tahun dan walaupun kaum Cina di sini tak ramai, tapi kami sudah seperti satu keluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!