Haaland lonjak Manchester City ke puncak EPL
PENYANDANG juara Manchester City telah melakukan secukupnya untuk menjinakkan Southampton 1-0 di Stadium Etihad hasil jaringan awal Erling Haaland untuk melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Angkatan Manchester City bimbingan Pep Guardiola akan kekal di puncak Liga teratas England itu sementara menanti keputusan pertarungan Liverpool Arsenal di Stadium Emirates awal pagi Isnin.
Gol minit kelima Haaland memberikan Manchester City kelebihan dua mata ke atas Liverpool asuhan Arnie Slot, pasukan prospek juara yang kini meniti ujian karakter berdepan anak buah Mikel Arteta yang menghuni kedudukan keempat.
“Saya akan menonton (perlawanan awal pagi Isnin).
"Saya lebih suka berada di atas daripada tidak berada di atas, tetapi ia bukan masalahnya.
"Lihat sahaja apa yang berlaku hari ini, Aston Villa kehilangan mata dan Brighton kehilangan mata bukti saingan musim sangat sukar,” kata Guardiola.
Ketika Haaland menjaringkan gol menakjubkan dalam aksi membelasah Sparta Prague 5-0 dalam Liga Juara-Juara Rabu, dia mengharungi tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa jaringan sebelum menamatkan kemarau itu pada minit kelima.
Bergelut dengan pemain pertahanan Jan Bednarek, tonggak Norway berusia 24 tahun, mahir menjaringkan gol dari sudut ketat, memanfaatkan kelebihan dimiliki untuk menewaskan penjaga gol The Saints, Aaron Ramsdale, 26, yang berguru di Arsenal musim lalu.
Sementara itu, Aston Villa asuhan Unai Emery pula terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika melakukan kunjungan ke Bournemouth selepas bolos gol penghujung perlawanan.
Tandukan lewat Evanilson membolehkan Bournemouth membatalkan gol pembukaan Ross Barkley di Villa Park, melebarkan rekod tanpa kalah skuad Emery kepada 11 perlawanan dalam semua pertandingan.
Brentford pula memulihkan defisit dua gol untuk bangkit menewaskan Ipswich Town 4-3 di Stadium Komuniti Brentford, London manakala Wolverhampton Wanderers meninggalkan Stadium Amex dengan satu mata selepas seri 2-2 ke atas Brighton & Hove Albion hasil jaringan penyamaan pada masa kecederaan.
Sementara itu, tandukan Beto pada masa kecederaan membolehkan Everton seri 1-1 ketika berdepan Fulham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!