Imigresen terjah kawasan 'Little India' Brickfields

Antara individu warga asing yang diperiksa pegawai imigresen di kawasan Little India, Brickfields pada Ahad.
Antara individu warga asing yang diperiksa pegawai imigresen di kawasan Little India, Brickfields pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kawasan tumpuan orang ramai termasuk warga asing sekitar Little India, Brickfields menjadi lokasi pemeriksaan serta rondaan mengejut Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ahad.

Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi berkenaan mendapati pemeriksaan secara rawak dijalankan melibatkan gerai serta premis perniagaan yang dipercayai menggajikan warga asing.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi kira-kira jam 10.30 pagi dijalankan melibatkan seramai 13 pegawai dan anggota imigresen.

"Pegawai imigresen bertugas menjalankan rondaan serta pemeriksaan mengejut terhadap warga asing yang dipercayai menjadi pekerja di premis-premis perniagaan sekitar kawasan ini.

"Selain itu, nasihat turut diberikan terhadap majikan terlibat berkaitan pematuhan undang-undang yang ditetapkan," katanya pada Ahad.

Katanya, pegawai imigresen terlibat dalam rondaan ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan di lokasi berkenaan.

Pegawai imigresen bertugas menjalankan rondaan sekitar kawasan Little India, Brickfields pada Ahad.
Pegawai imigresen bertugas menjalankan rondaan sekitar kawasan Little India, Brickfields pada Ahad.

"Tindakan penguatkuasaan, pemeriksaan serta elemen rondaan sentiasa dijalankan bagi memastikan kehadiran pihak imigresen dirasai buat warga ibu kota.

Artikel Berkaitan:

"Usaha dijalankan ini bagi memastikan kawasan Little India, Brickfields ini menjadi lokasi selesa buat seluruh warga sama ada tempatan atau pelancong asing," katanya.

Menurutnya, operasi dilakukan mendapati segelintir warga asing tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

"Antara kesalahan ketara dikesan adalah melibatkan salah guna pas pekerjaan misalnya permit melibatkan sektor pembinaan namun dikesan menjadi pekerja di premis menjual pakaian.

"Imigresen memberikan amaran tegas terhadap majikan dan warga asing ini dan meminta agar langkah segera diambil oleh majikan terlibat," katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, kaedah pemantauan omnipresence ini akan dijalankan secara berterusan terutamanya lokasi tumpuan di ibu kota ketika musim perayaan ini.

"Penugasan ini bagi memastikan warga asing tidak melanggar undang-undang serta mengambil kesempatan selain memastikan kawasan ini selesa dikunjungi rakyat dan pelancong.

"Jabatan Imigresen Kuala Lumpur sentiasa peka bahawa pentingnya kehadiran dan keberadaan agensi penguat kuasa dirasai rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!