The Greater Kedah tidak bercanggah dengan SG4 - Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - The Greater Kedah yang dilancarkan hari ini tidak bercanggah dengan penubuhan 'State Goverment 4' (SG4) pada September lalu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan The Greater Kedah adalah kesinambungan kepada perancangan dalam SG4 untuk memajukan empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, kemajuan yang dikecapi Kedah kelak akan mewujudkan persaingan sihat antara negeri SG4.

"Bezanya ialah SG4 bertindak dari atas ke bawah manakala The Greater Kedah bersifat dari bawah ke atas.

"Ia tak bercanggah malahan bersifat komplementari atau saling melengkapi. Oleh kerana itu, usaha The Greater Kedah ini perlu disokong dan diperkukuh kerana ia akan bersifat mendokong.

"Selain memastikan Kedah berjaya memajukan diri, ia akan menyumbang kepada kejayaan SG4," kata Dr Mahathir dalam rakaman video pada majlis pelancaran The Greater Kedah di Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Kedah perlu mempertahankan sektor pertanian demi keterjaminan makanan negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar The Greater Kedah boleh meneruskan sektor pertanian khususnya penanaman padi dengan menggunakan pendekatan sistem perladangan komersial.

Artikel Berkaitan:

"Melalui pendekatan ini, pemilik sawah tidak lagi menanam secara bersendirian tetapi mereka berkumpul di dalam satu kelompok besar dan diuruskan oleh pakar pengurusan pertanian.

"Pemilik pula akan kekal dengan pemilikan tanah yang dijadikan modal saham dalam aset padi yang didirikan, seperti juga dengan ladang getah dan kelapa sawit. Pendapatan dari ladang besar lebih besar daripada mengusahakan sawah padi sendirian secara kecil," ujar beliau.

Blueprint The Greater Kedah merangkumi pelan perancangan sedia ada antaranya, Pelan Pembangunan Kedah 2035, Pelan Strategik Ahli Majlis Kerajaan Negeri 2024-2028. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!