Program SejaTi Madani dilaksana di semua kampung seluruh negara - PM

Anwar (tiga, kanan) menyampaikan geran Sejati Madani kepada penerima pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di Arena Square Pekan Isnin pada Ahad. Foto Bernama
Anwar (tiga, kanan) menyampaikan geran Sejati Madani kepada penerima pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di Arena Square Pekan Isnin pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi akan melibatkan semua kampung di seluruh negara tanpa ada yang terkecuali, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, meskipun tidak dapat dilaksanakan secara serentak, namun pelaksanaannya diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menyusun program menerusi peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2025 bagi meningkatkan ekonomi perkampungan.

"(Menerusi) SejaTi Madani ini, kita seolah-olah bagi satu tanggungjawab dan cabaran langsung kepada orang kampung (dengan peruntukan) paling minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000. Imamnya, ketua kampungnya, penghulunya, persatuan belia, wanita (kampung) dan jawatankuasa masjidnya, kome (kamu) duduklah runding betul-betul.

"Teman (Anwar) bagi dana, kome putuskan apa yang nak buat bagi kepentingan orang kampung. Ada yang beli traktor, ada yang beli bot, tetapi keputusan itu bukan keputusan seorang (namun) keputusan wakil masyarakat kampung yang boleh menghidupkan ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Padang Rengas di Dataran Arena Square Pekan Isnin, Padang Rengas di sini pada Ahad.

Justeru Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta masyarakat kampung membuat keputusan dengan sebaik-baiknya kerana peruntukan keseluruhan RM1 bilion yang disediakan bagi inisiatif itu pada Belanjawan 2025 adalah amanah.

SejaTi Madani adalah inisiatif baharu Kerajaan Perpaduan, yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Pada pembentangan di Dewan Rakyat 18 Oktober lepas, Anwar juga mengumumkan RM100 juta daripada peruntukan itu akan digunakan bagi memperkasakan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi.

Sehubungan itu Anwar berkata, kerajaan berpuas hati dengan pemberian peruntukan besar bagi program SejaTi Madani kerana diberikan terus kepada orang kampung yang diberi tanggungjawab dan tiada kebocoran wang, dengan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta pegawai daerah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, lebih 15,000 daripada 18,000 ketua isu rumah miskin tegar tahun ini berjaya dinoktahkan setakat ini, manakala selebihnya akan cuba diselesaikan sebelum akhir tahun.

"Masalah miskin tegar melibatkan 161,000 ketua isi rumah miskin tegar pula berjaya diselesaikan pada tahun lepas menerusi pelbagai bantuan disalurkan kerajaan," katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) seterusnya menasihatkan pemimpin semua parti dan pihak dalam kerajaan untuk bekerja kuat bagi mengangkat martabat rakyat dan negara dengan mengenepikan 'pergaduhan' buat masa ini.

"Nasihat kepada kawan kita (pemimpin) kalau kita nak buat, buat sekarang (dan) masa kita ada kuasa, buat sebaiknya, bersih, angkat martabat rakyat, bawa perubahan dan hayati Islam sebagai agama. Itu ujiannya (semasa mempunyai kuasa)," katanya.

Beliau turut menyelar tindakan segelintir pemimpin politik yang cuba menjadi jaguh golongan T15 yang tidak lagi menikmati subsidi petrol RON95 susulan cadangan penyasaran subsidi bahan api itu, ketika sesi perbahasan persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Terdahulu Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM1.3 juta bagi projek kerja membina jalan ladang berasaskan simen di Kawasan Blok C Pendusunan Ulu Kongsor, Padang Rengas di sini yang merangkumi empat jalan dusun dengan jumlah keseluruhan panjang jalan 3 km.

Kerja-kerja pembinaan dijangka disiapkan pada Disember 2024 dan projek itu bertujuan meningkatkan aksesibiliti ke kawasan dusun, memudahkan pendusun dan pelancong untuk mengunjungi kawasan agrotourism Ulu Kongsor di pekan Padang Rengas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!