Selangor peruntuk lebih RM3 juta sedia saringan kesihatan percuma

Jamaliah (enam dari kiri) pada Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor di KSL Esplanade Mall pada Ahad.
Jamaliah (enam dari kiri) pada Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor di KSL Esplanade Mall pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3 juta bagi program saringan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada rakyat Selangor.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, saringan asas di samping pemeriksaan penyakit kanser, penglihatan dan pendengaran itu telah memberi manfaat kepada lebih 6,000 penerima.

Menurutnya, peruntukan besar dikeluarkan kerajaan negeri itu bertujuan meningkatkan kesedaran pemeriksaan kesihatan yang masih rendah dalam kalangan masyarakat.

"Sebanyak RM54 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk pengurusan kesihatan awam di Selangor termasuk RM3 juta daripadanya bagi program saringan dan pemeriksaan kesihatan.

"Masih ramai rakyat Selangor kurang ambil berat pemeriksaan kesihatan sedangkan ia penting untuk pencegahan dan rawatan awal jika penyakit dikesan awal," katanya pada Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor di KSL Esplanade Mall di sini pada Ahad.

Jamaliah (dua dari kanan) merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor di KSL Esplanade Mall pada Ahad.
Jamaliah (dua dari kanan) merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor di KSL Esplanade Mall pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin serta timbalannya, Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor.

Katanya, program saringan kesihatan dijalankan di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membantu masyarakat dapatkan rawatan percuma susulan kosnya boleh mencecah ratusan ringgit jika dilakukan di klinik atau hospital swasta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menjelang Belanjawan Selangor 2025, beliau memaklumkan, portfolionya akan membuat semakan semula terhadap program sedia ada selain memperluas lagi inisiatif yang mendapat sambutan positif rakyat.

Selain itu katanya, penumpuan juga akan diberikan kepada isu semasa termasuk mendepani negara menua melalui program-program berkaitan warga emas.

"Malaysia sedang menuju 'aging society' jadi sudah tiba masa kerajaan negeri menumpukan kepada penjagaan warga emas.

"Pada tahun depan, kita akan lihat kaedah yang boleh dilakukan untuk tujuan tersebut," ujarnya.

Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor di KSL Esplanade Mall pada Ahad.
Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor di KSL Esplanade Mall pada Ahad.

Dalam pada itu, Wan Noraini berkata, jelajah ANMS berlangsung di sembilan daerah bermula di Gombak pada April lalu mengetengahkan agenda Malaysia Sihat Sejahtera.

Ujarnya, penganjurannya bagi mempromosi pembudayaan hidup sihat, menyediakan persekitaran menyokong kesejahteraan kesihatan, memperkasa individu dan komuniti dalam kawalan kesihatan kendiri serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan.

"Bagi memastikan pelaksanaan ANMS mencapai kejayaan sehingga ke peringkat akar umbi, libat urus dan kerjasama strategik hendaklah diperkukuhkan melalui penglibatan aktif daripada pelbagai agensi termasuklah pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

"Usahasama secara holistik ini juga secara tidak langsung akan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan sedia ada ke tahap yang lebih optimum," katanya.

ANMS Selangor pada Ahad dihadiri 2,000 peserta Fun Run dan Fun Walk selain dimeriahkan pembukaan reruai pameran serta pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!