Pelantikan sebagai penasihat tidak jatuhkan maruah Presiden MCA

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

TEMERLOH - Pelantikan Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai penasihat pelaburan masyarakat Cina dan juga syarikat Cina di Malaysia tidak menjatuhkan maruah atau martabatnya sebagai Pengerusi MCA seperti pandangan sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya pelantikan itu sebagai penghargaan kepada peranan Ka Siong membantu membawa pelabur dari China ke negara ini.

Menurutnya, latar belakang dan pengalaman pemimpin MCA itu dapat membantunya sebagai Pengerusi Majlis Halal Malaysia menarik lebih ramai pelabur untuk melabur dalam industri halal di negara ini.

"Pelantikan Ka Siong juga atas persetujuan dan persefahaman bersama antara saya dan dia.

"Awalnya ia diumumkan semasa beliau mengikuti rombongan ke Shanghai, China, September lalu dan secara rasminya diumumkan semasa Perhimpunan Tahunan MCA minggu lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Pahang 2024 Sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Dewan Tun Razak di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, selepas dilantik, Ka Siong akan membuat tindakan susulan untuk senaraikan bakal-bakal pelabur yang akan melabur di negara ini khususnya dalam industri halal bagi tujuan eksport.

"Kita juga akan berkerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk sijil halal, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) untuk merealisasikannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pemimpin MCA sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan tersebut, yang dianggap sebagai satu peranan yang tidak bermaruah dan satu tamparan bagi pengerusi parti itu.

Ka Siong bagaimanpun menggesa ahli-ahli parti itu supaya berpandangan jauh berhubung pelantikan tersebut.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Ka Siong berkata, sebagai presiden MCA, dia berasa terdorong untuk memanfaatkan hubungan parti itu dengan kerajaan China dan menjadikannya sebagai platform untuk mempromosikan hubungan baik serta kerjasama antara kedua-dua negara.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung insiden pengibaran bendera China semasa perarakan berunsurkan keagamaan di Menara Condong Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!