Selangor belum cadang laksana dasar penginapan hotel 23 jam

Suee Lim (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima semasa Festival of Wings 2024 di Taman Alam, Bukit Malawati, Kuala Selangor pada Ahad.
Suee Lim (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima semasa Festival of Wings 2024 di Taman Alam, Bukit Malawati, Kuala Selangor pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor belum bercadang menetapkan dasar menginap sekurang-kurangnya 23 jam di semua hotel di negeri ini.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, buat masa ini, tempoh masa daftar masuk dan keluar hotel di Selangor masih kekal sama seperti sebelumnya.

Menurut beliau, kerajaan Selangor peka dengan isu itu kerana tidak mahu sesuatu peraturan ditetapkan menjejaskan ekosistem perniagaan penggiat industri hotel di negeri ini.

"Kita melihat perkara ini secara teorinya mungkin nampak indah, tetapi secara praktikal tidak mudah untuk dilaksanakan.

"Dasar ini belum sesuai dan tidak kondusif kerana pengusaha hotel perlu mengupah pekerja bagi melakukan (kerja-kerja) pembersihan semula yang tentunya mengambil masa antara dua atau tiga jam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Festival of Wings 2024 di Taman Alam, Bukit Melawati, Kuala Selangor pada Ahad.

Bagaimanapun, Suee Lim memberitahu, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan penggiat industri hotel bagi mendengar pandangan dan membuat satu ketetapan yang jelas.

"Sebelum dasar dibuat kita mesti mendengar pandangan mereka (pengusaha hotel) terlebih dahulu kerana kita tidak boleh menekan dalam konteks ini.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang lebih penting adalah mengenai soal kebersihan dan harga ditawarkan pihak pengusaha hotel memuaskan hati semua pihak," kata beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan membangunkan hotel bertaraf bintang dan antarabangsa di Taman Alam, Kuala Selangor, Suee Lim berkata, perancangan itu belum dapat dilaksanakan berikutan terdapat beberapa kekangan dihadapi termasuk perlu mendapatkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Beliau memberitahu, kerajaan negeri tidak mahu sekiranya projek itu dilaksanakan dikhuatiri menjejaskan ekosistem semula jadi dan persekitaran kawasan terbabit.

"Kita akan pastikan sekiranya pembangunan itu menjejaskan, kita tidak akan benarkan pelaksanaannya, tetapi saya yakin kita akan ikuti semua peraturan ditetapkan EIA.

"Kita semua jelas bahawa ada keperluan dan permintaan tinggi pengunjung untuk menginap di Kuala Selangor, jika tiada hotel yang bertaraf bintang mungkin mereka akan ke tempat lain dan hanya datang ke sini sekadar 'touch and go' sahaja.

"Misalnya di Kuala Selangor ini, kita mahu mereka bermalam kerana masa mereka lebih panjang dan berbelanja lebih besar di sini sekali gus menguntungkan ekonomi penduduk setempat," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!