Polis siasat kewujudan kumpulan 'sexual grooming'

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan berhubung kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di akaun media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Siasatan Jenayah Internet Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (Micac) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai akaun media sosial aplikasi X berkaitan 'sexual grooming' pada Jumaat lalu.

Menurutnya, hasil semakan Micac D11 mendapati hantaran terbabit memaparkan tangkap layar sebuah akaun kumpulan Facebook berkaitan isu terbabit.

“Unit Micac D11 sudah memulakan proses risikan dalam talian dan turut menyalurkan beberapa maklumat suspek kepada pihak SKMM untuk dibuat profiling awal sementara risikan dalam talian diteruskan untuk menimbulkan elemen yang lebih kukuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Bahagian D11 bersama SKMM kini sedang menjalankan risikan dan siasatan lanjut ke atas maklumat itu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Terdahulu media melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan SKMM ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan 'sexual grooming' di akaun media sosial.

Beliau berkata, SKMM sedang bekerjasama dengan Meta dan D11 PDRM untuk menjalankan siasatan lanjut.

PDRM akan mengenal pasti jenis aktiviti yang sedang berlangsung dalam kumpulan tersebut, dan jika terdapat sebarang kesalahan, tindakan akan diambil.

Artikel Berkaitan:

SKMM selaku agensi teknikal akan membantu dalam pemeliharaan data dan profil akaun berkenaan.

Beliau berkata demikian mengulas tentang kewujudan beberapa kumpulan di akaun media sosial yang menjurus kepada aktiviti pengantunan kanak-kanak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!