Serie A: Inzaghi beri bayangan laluan Inter Milan lebih berliku
INTER Milan menjuarai saingan Serie A musim lalu dengan meninggalkan jauh pesaing terdekat AC Milan dengan margin 19 mata apabila menang 29, seri tujuh dan tewas dua daripada 38 perlawanan.
Namun musim ini pengendali I Nerazzurri, Simone Inzaghi memberikan gambaran misi mempertahankan kejuaraan Scudetto akan lebih sengit kali ini bermula dengan perlawanan menentang Juventus antara lawan paling sukar.
Skuad kendalian Inzaghi ketika ini bersedia untuk melayan kunjungan Juventus dalam Derbi d'Italia, Inter berada dua mata di belakang pendahulu Napoli dan hanya satu mata di depan Juventus
“Saya tidak suka bercakap banyak mengenai perkara lalu, namun tahun ini ia akan menjadi kejuaraan yang lebih seimbang daripada biasa.
“Kita dapat lihat banyak kelab telah membelanjakan banyak wang untuk merapatkan jurang yang telah dicipta sekian lama dalam Serie A.
“Juventus adalah pasukan terbaik di Eropah dari segi jaringan, mereka juga mempunyai jurulatih cemerlang yang sangat saya hormati dan mereka telah banyak melabur. Mereka akan kekal sebagai protagonis sepanjang tahun,” kata Inzaghi.
Ketika jurulatih Juve, Thiago Motta, bersama Antonio Conte dari Napoli, terus mengecilkan peluang sendiri untuk memenangi gelaran, kejayaan Inzaghi musim lalu juga tidak membenarkannya untuk berada dalam zon selesa.
“Saya tidak tahu sama ada ia strategi atau sesuatu yang lain, saya hanya boleh bercakap untuk diri saya sendiri dan kelab Inter Milan.
“Kami tahu bahawa kami bermula dari awal musim dengan matlamat yang jelas, untuk bermain sebanyak mungkin perlawanan untuk memastikan merangkul kejuaraan lebih awal selain konsisten berdaya saing dalam liga,” kata Inzaghi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!