'Saya tak sangka, pertanyaan tentang Malaikat Izrail petanda arwah pergi' - Ibu

Haslam bersama isteri dan anak sulungnya menunjukkan gambar arwah di rumahnya di Kampung Sungai Kajang Lama, Tanjong Karang, di sini pada Ahad.
Haslam bersama isteri dan anak sulungnya menunjukkan gambar arwah di rumahnya di Kampung Sungai Kajang Lama, Tanjong Karang, di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang kanak-kanak perempuan seolah-olah tahu petanda ajal apabila bertanya mengenai Malaikat Izrail sebelum ditemui lemas apabila terjatuh ketika bermain basikal di kawasan parit di Kampung Sungai Kajang Lama, Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Allahyarham Hawanis Qalissha Haslam, 6, bertanya kepada abangnya, Hanif Syazwan, 8, selepas mempelajari tugas-tugas malaikat menerusi lagu yang diajar guru di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika).

Ibunya, Siti Zulaiha Nasiran, 30, berkata, pertanyaan terakhir itu diungkapkan Allahyarham Hawanis beberapa jam sebelum dia ditemui lemas dalam parit.

"Saya tidak sangka, pertanyaan tentang Malaikat Izrail petanda arwah pergi menemui Pencipta," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Sungai Kajang Lama di sini pada Ahad.

Menurut Siti Zulaiha, Allahyarham juga sempat menyambut ulang tahun kelahirannya pada 14 Oktober lalu.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu juga kelihatan teruja semasa memotong kek batik dan mengungkapkan ucapan terima kasih.

"Memang setiap tahun kami akan meraikan sambutan hari jadi Hawanis, namun tahun ini kami terlewat sehari, namun saya tetap siapkan kek batik keesokannya.

"Nampak arwah bersemangat menyambut hari jadinya dan tidak menyangka ia sambutan kali terakhir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Haslam Mohd Darus, 39, berkata, ketika kejadian dia dan isteri sedang melakukan rutin mengemas kediamannya.

Bagaimanapun, katanya, dia pelik apabila Hawanis tidak ditemui walaupun kebiasaannya pergi ke rumah neneknya pada sebelah petang dengan berbasikal.

"Saya kemudian keluar mencari di rumah ibu (nenek) yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah dan terkejut sebaik melihat basikal anak berada di tebing parit.

"Namun, saya tidak berupaya turun kerana masalah kaki dan meminta bantuan adik lelaki yang kebetulan melalui jalan tersebut," ujarnya.

Menurut Haslam, usaha pencarian itu kemudian membawa kepada penemuan jasad Hawanis yang terapung di sekitar parit tersebut.

"Selepas dibawa adik naik ke tebing, saya berusaha menyelamatkan Hawanis dengan turut melakukan bantuan pernafasan namun gagal.

"Saya kemudian segera membawa arwah ke Hospital Tanjong Karang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," jelasnya.

Jenazah Allahyarham dimandikan di rumah keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Karang, kira-kira jam 10 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 9.01 malam.

"Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai bermain basikal sebelum ditemui di dalam parit sedalam dua hingga tiga meter tersebut.

"Hasil bedah siasat pihak hospital mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!