Kementerian Ekonomi digesa percepat NoC besarkan KHTP

Sanusi (tengah) melihat buku yang menggariskan tentang pelaksanaan The Greater Kedah pada majlis pelancaran di Dewan Seri Mentaloon pada Ahad.
Sanusi (tengah) melihat buku yang menggariskan tentang pelaksanaan The Greater Kedah pada majlis pelancaran di Dewan Seri Mentaloon pada Ahad.
A
A
A

ALOR STAR - Kementerian Ekonomi digesa mempercepatkan kelulusan Notis Perubahan (NoC) untuk membeli tanah persendirian bagi tujuan pembesaran Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah telah mendapat pinjaman RM187 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk pengambilan tanah bagi pembesaran KHTP.

Bagaimanapun katanya, usaha itu terbantut kerana harga tanah naik melebihi harga asal ketika penilaian harga dijalankan.

"Jadi pinjaman yang diperoleh daripada kerajaan Persekutuan tidak mencukupi untuk meneruskan pemerolehan, maka kami memutuskan untuk beralih dari pemerolehan tanah kepada kaedah pembelian tanah selepas berunding dengan syarikat lain yang memiliki tanah bersebelahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran The Greater Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Ahad.

Menurutnya, sebagai prosedur kewangan, kerajaan negeri perlu memperoleh kelulusan daripada Menteri Ekonomi untuk NoC.

"Sudah setahun berlalu. Saya tidak tahu mengapa ia mengambil masa begitu lama. Kami telah menghantar nota kepada menteri (Rafizi Ramli) dan nota kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Kedah memerlukan kelulusan NoC dengan segera kerana syarikat tersebut telah menetapkan tarikh akhir untuk kami menyelesaikan proses pembelian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Sanusi, sekiranya Kedah gagal memenuhi tarikh akhir, mereka terpaksa berunding semula harga terbabit.

"Saya pun hairan, perbincangan di peringkat pegawai telah selesai tetapi ia terhenti di peringkat menteri. Saya tak tahu mereka tunggu apa lagi, bagi saja la NoC,” katanya.

Beliau berkata, menteri kabinet bertanggungjawab untuk mempercepatkan proses pelaburan, selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan.

"Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen baru-baru ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan meneruskan projek mega.

"Sebaliknya, beliau berkata fokus adalah pada inisiatif yang berpusat kepada rakyat dan sokongan untuk kawasan industri berdasarkan keutamaan negeri, termasuk mengembangkan KHTP untuk menampung pengeluar semikonduktor seperti Infineon Technologies AG," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!