Khemah biru di pantai Port Dickson diarah henti operasi mulai 18 November

Deretan khemah biru di sepanjang Pantai Teluk Kemang. Foto Bernama
Deretan khemah biru di sepanjang Pantai Teluk Kemang. Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengarahkan semua peniaga khemah biru di pantai Port Dickson menghentikan aktiviti perniagaan sewaan khemah mulai 18 November ini.

Yang Dipertua MPPD Hasnor Abd Hamid berkata, notis arahan menghentikan perniagaan berkenaan melibatkan Pantai Telok Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.

Beliau berkata, ia sebagai langkah persediaan bagi menambah baik perniagaan khemah di pusat peranginan berkenaan.

"Pengusaha khemah juga dikehendaki melakukan pembersihan termasuk mengalihkan semua peralatan seperti khemah, meja, kerusi, payung, struktur atau binaan tempat simpanan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Selain itu, beliau berkata, mereka dilarang untuk memulakan apa-apa perniagaan sebagai ganti dan jika tidak dipatuhi tindakan akan diambil mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata, isu berkaitan kawasan Pantai Telok Kemang itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung dan akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, proses perbincangan dijalankan bersama peniaga sewaan khemah terbabit bagi mencari kaedah penyelesaian termasuk berkemungkinan konsep baharu khemah akan digunakan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!