Indonesia sekali lagi usir kapal pengawal pantai China

Indonesia sekali lagi mengusir kapal Pengawal Pantai China di Laut Natuna Utara.
Indonesia sekali lagi mengusir kapal Pengawal Pantai China di Laut Natuna Utara.
A
A
A

NATUNA, Indonesia - Indonesia sekali lagi mengusir kapal Pengawal Pantai China di Laut Natuna Utara, mencetuskan satu lagi ketegangan berhubung sempadan maritim, lapor Agensi Berita ANTARA.

Jurucakap Badan Keamanan Laut (Bakamla), Kapten Yuhanes Antara, mengesahkan insiden itu berlaku pada Jumaat (25 Oktober 2024).

Kapal CCG-5402 milik China itu turut membuat beberapa percubaan lain sepanjang Oktober 2024, katanya.

Pada hari kejadian, kapal China itu tidak hanya menceroboh perairan Indonesia, tetapi turut mengganggu aktiviti tinjauan seismik Arwana 3D dan pemprosesan data yang sedang dijalankan oleh PT Pertamina East Natuna dengan menggunakan kapal MV Geo Coral di kawasan Laut Natuna Utara.

Beliau juga mendakwa ketika KN Pulau Dana-323 berkomunikasi dengan kapal China melalui radio, kapal CCG-5402 mendakwa ia sedang melakukan rondaan di perairan China dan meminta kapal Indonesia supaya tidak mendekat demi keselamatan pelayaran.

"Namun, permintaan itu tidak diendahkan oleh KN Pulau Dana-323, yang bekerjasama dengan kapal peronda Tentera Laut Indonesia KRI Sutedi Senaputra-378 dan KRI Bontang-907.

"Berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, pelantar benua Indonesia di Laut Natuna Utara diakui di peringkat antarabangsa, yang memberi hak kepada Indonesia untuk mengeksploitasi dan meneroka sumber asli di kawasan itu tanpa sebarang gangguan dari negara lain," kata Yuhanes.

Bakamla menegaskan bahawa pihaknya akan terus memastikan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan Indonesia, selaras dengan perintah Laksamana Madya TNI Dr Irvansyah.

Artikel Berkaitan:

"Bakamla RI bersedia untuk menjaga keselamatan perairan Indonesia demi masa depan negara," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!