Seorang daripada enam kanak-kanak, remaja alami kesihatan mental- Laporan NHMS

Dr Neilson (empat dari kiri) merasmikan Program Transformasi Minda Sempena Hari Kesedaran Mental Sedunia Tahun 2024 di Beaufort.
Dr Neilson (empat dari kiri) merasmikan Program Transformasi Minda Sempena Hari Kesedaran Mental Sedunia Tahun 2024 di Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Laporan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan seorang daripada enam kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 15 tahun mengalami kesihatan mental di negara ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyakit Tidak Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Nirmal Kaur berkata, pendedahan daripada laporan tersebut dilihat amat membimbangkan.

"Menurut laporan itu, lebih kurang sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia 15 tahun keatas mengalami kemurungan.

"Apa yang lebih membimbangkan ialah separuh daripadanya berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort, Dr Neilson Richard Seling ketika merasmikan Program Transformasi Minda Sempena Hari Kesedaran Mental Sedunia Tahun 2024 di sini pada Ahad.

Katanya lagi, masalah kesihatan mental kini menjadi salah satu beban kesihatan di negara kita pada hari ini.

Justeru, Dr Nirmal berkata, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort melalui Unit Penyakit Tidak Berjangkit dan Unit Terapi Cara Kerja turut menjalankan inisiatif bagi memupuk kesedaran penjagaan kesihatan mental melalui program tersebut.

"Melihat kepada trend peningkatan masalah kesihatan mental di peringkat global yang semakin membimbangkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat menjalankan usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mental.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti promosi kesihatan mental telah dilaksanakan sejak tahun 2000 lagi. Malah, KKM juga telah melancarkan kempen media Let's Talk Minda Sihat yang dilaksanakan selaras dengan Pelan Publisiti Kesihatan Mental dibawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)," katanya.

Sehubungan itu, Dr Nirmal turut berharap masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti pertubuhan BeFrienders memainkan peranan dalam usaha membantu individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

"Semua pihak diharap terus bergerak dan bekerjasama dalam memberikan kesedaran kesihatan mental kepada masyarakat sekeliling agar trend peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dibendung," katanya.

Sebelum itu, program tersebut turut dihadiri seramai 250 pelajar dan guru pengiring yang terdiri dari sekolah sekitar Beaufort dan Membakut sebagai pendedahan terhadap kesihatan mental terhadap kanak-kanak dan remaja di negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!