Kibar bendera China: Pas gesa kerajaan tegas, pertahan tindakan Razman

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mempertahankan tindakan Ketua Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan beberapa pihak lain yang mengecam insiden pengibaran bendera China di Teluk Intan baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tindakan provokasi oleh pihak luar itu tidak boleh dianggap selesai hanya melalui permohonan maaf tanpa siasatan serta tindakan tegas.

"Sekali lagi Pas menggesa kerajaan bertindak segera terhadap pihak yang memulakan provokasi dan tidak patriotik serta yang membela pihak berkenaan, bukan menyiasat mereka yang membuat laporan polis.

"Perlu disedari isu yang berlaku bukan sekadar isu bendera sahaja, ia sebenarnya gambaran kesetiaan kepada negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, tular rakaman video sekumpulan individu mengibarkan bendera China semasa sambutan festival kebudayaan Guan Gong di Menara Condong, Teluk Intan.

Susulan kejadian tersebut, kira-kira 300 individu berkumpul sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang di lokasi sama pada Sabtu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mendakwa pelbagai insiden yang berlaku kebelakangan ini mencetuskan rasa kurang senang rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.

"Bermula dengan insiden sembilan institusi pendidikan Cina yang menolak inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular, lawatan tentera China ke sekolah di Pulau Pinang, kini muncul pula insiden mengibar bendera negara China di Perak.

Artikel Berkaitan:

"Rasa marah dan kurang selesa rakyat bertambah dengan sikap pimpinan DAP yang pantas membela serta tindakan kerajaan yang agak berlembut terhadap isu-isu ini.

“Atas apa alasan sekali pun, kerajaan Madani mesti membendung situasi ini dengan mengambil tindakan segera kepada penganjur," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!