SPRM gesa PBT beri keutamaan tubuh Unit Integriti

Azam Baki. Foto Bernama
Azam Baki. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) diberikan keutamaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, UI penting untuk membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi.

Beliau berkata, untuk tujuan ini, UI perlu melaksanakan enam fungsi teras dengan berkesan iaitu Tadbir Urus, Pengukuhan Integriti, Pengesanan dan Pengesahan, Pengurusan Aduan, Pematuhan dan Tatatertib.

"Dalam hal ini, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi UI di samping menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan Ul bagi agensi-agensi awam," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Azam berkata, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti.

Setakat ini, hanya 49 PBT telah menubuhkan UI masing-masing.

Azam berkata, SPRM menyambut baik inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memasukkan elemen antirasuah dalam sistem penilaian PBT bermula tahun ini.

Memetik laporan media pada 26 Oktober lepas, Azam berkata, sebanyak 12 PBT telah mengalami penurunan taraf dalam Sistem Penarafan Bintang (SPB-PBT) selepas elemen antirasuah dimasukkan dalam sistem penilaian itu.

Artikel Berkaitan:

"SPRM yakin inisiatif ini akan mempertingkatkan ketelusan dalam prestasi PBT. Langkah ini penting untuk memperkukuh integriti, tadbir urus dan tata kelola demi merealisasikan sistem perkhidmatan awam yang cekap, bersih dan berkesan," katanya.

Azam berkata, SPRM bersedia memberikan sokongan dari segi khidmat nasihat dan latihan bagi memastikan penubuhan UI di setiap 156 PBT di seluruh negara selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian 1.2.1: Penubuhan Ul di semua Sektor Awam seperti yang disarankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

SPRM turut mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi berterusan daripada agensi-agensi awam untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan dalam NACS.

Beliau berkata, melalui usaha itu dapat memperkukuh imej negara dan merealisasikan aspirasi bersama untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPl). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!