Pelajar dihalau keluar kelas hanya kerana berambut afro
HACKNEY – Pasangan suami isteri berjaya memenangi tuntunan saman dan menerima pampasan sebanyak £8,500 (RM45,386) dari Sekolah Urswick di Hackney, London selepas mengusir anaknya dari kelas hanya kerana berambut kerinting.
Pihak sekolah sebelum ini memaklumkan gaya rambut Ruby Williams, 14, melanggar polisi pemakaian uniform sekolah di samping menghalang pandangan pelajar lain untuk melihat papan tulis di hadapan.
Bagaimanapun, ibu bapa Ruby, Kate dan Lenny Williams membuat tuntutan saman kerana tindakan diskriminasi sekolah berkenaan, lapor Independent yang memetik sumber.
Ruby turut menyifatkan tindakan sekolah itu sebagai satu penghinaan dan dia juga tertekan akibat sekatan yang dikenakan hanya kerana membiarkan rambutnya panjang.
“Alasan yang diberikan oleh pihak sekolah hanya sebab rambut saya menghalang seseorang daripada melihat papan putih dan guru yang mengajar di hadapan,” katanya.
Sementara itu, Kate menjadi bualan ramai di Instagram selepas melancarkan kempen menghentikan sekolah daripada memaksa pelajar memotong rambut yang disifatkan tindakan mendiskriminasikan kanak-kanak kulit hitam.
“Diskriminasi ini tidak boleh berlaku kepada kanak-kanak berambut afro yang orang tidak akan faham perasaan mereka mempunyai rambut begini. Rambut itu adalah keturunan mereka dan sebahagian daripada identiti dan warisan mereka.
“Tidak masuk akal apabila seseorang menghadapi masalah dengan keadaan rambut begitu. Bukan mereka meletakkan sesuatu supaya menjadikannya besar kerana lumrah rambut akan tumbuh dengan keadaan begitu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!