Aset udara Malaysia, Singapura tiba untuk operasi penghantaran bantuan mangsa Trami

Taufan Trami telah mengakibatkan lebih 5.7 juta orang di Filipina terjejas, manakala jumlah kematian meningkat kepada 85 orang. Foto Xinhua
Taufan Trami telah mengakibatkan lebih 5.7 juta orang di Filipina terjejas, manakala jumlah kematian meningkat kepada 85 orang. Foto Xinhua
A
A
A

MANILA - Pesawat tentera dari Singapura dan Malaysia tiba di Filipina pada Sabtu untuk membantu dalam operasi menghantar bantuan kepada mangsa Taufan Tropika Kristine (Trami).

Sebuah pesawat kargo C-130 milik Tentera Udara Republik Singapura dan helikopter pengangkut Eurocopter EC725 daripada Tentera Udara Diraja Malaysia tiba di Pangkalan Udara Villamor di Bandar Pasay pada Sabtu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) menurut kenyataan Tentera Udara Filipina (PAF).

Pesawat berkenaan akan memainkan peranan penting dalam menyokong operasi penghantaran Bantuan Kemanusiaan dan Tindak Balas Bencana (HADR) yang sedang dijalankan oleh Tentera Udara Filipina di kawasan-kawasan yang terjejas oleh Taufan Tropika Kristine, menurut kenyataan Kol. Ma. Consular Castillo, Ketua Pejabat Hal Ehwal Awam PAF.

Setiausaha Pertahanan Gilberto Teodoro Jr menyambut ketibaan pesawat berkenaan bersama Duta Besar Malaysia Datuk Abd Malik Castelino, Duta Singapura Constance See, dan Panglima PAF Lt. Jen. Stephen Parreño.

Sementara itu, Tentera Darat Filipina (PA) menggiatkan operasi bantuan di Wilayah Camarines Sur, satu daripada kawasan yang paling teruk terjejas akibat Kristine.

Dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar daripada Batalion Jurutera Tempur 'Forerunner' ke-525 telah mengedarkan kira-kira 1,100 pek makanan dan 18 kotak air minuman untuk keluarga di Barangays San Miguel, San Ramon, Umbao, Causip, dan San Roque di Bandar Bula.

Tentera Darat juga menggerakkan aset mobiliti tambahan dan anggota untuk membantu penduduk yang terjejas banjir di kawasan lain di Wilayah Bicol.

Pihak pimpinan tentera memberikan jaminan sokongan penuh kepada pasukan HADR yang dikerahkan ke pelbagai kawasan untuk melaksanakan operasi menyelamat dan bantuan dengan cepat dan berkesan, dengan kerjasama erat dengan unit kerajaan tempatan dan agensi kerajaan nasional.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan bahawa Taufan Trami telah mengakibatkan lebih 5.7 juta orang di Filipina terjejas, manakala jumlah kematian meningkat kepada 85 orang.

Menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, lebih 5.78 juta individu atau lebih 1.41 juta keluarga di 8,895 kampung terjejas oleh taufan itu, seperti yang dilaporkan oleh Manila Times.

Sebanyak 91,189 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan manakala 158 bandar dan majlis perbandaran diletakkan di bawah keadaan darurat.

Jumlah kematian juga meningkat kepada 85 orang di seluruh negara, manakala 33 orang cedera dan 26 masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di pelbagai kawasan.

Taufan tropika itu juga menjejaskan 520 jalan dan 84 jambatan serta merosakkan 27,640 rumah di pelbagai wilayah.

Belum lagi pulih daripada dibadai taufan itu, pihak berkuasa tempatan pada Ahad melaporkan bahawa Leon, Taufan Tropika baharu sedang bergerak ke arah barat pada kelajuan 30 kilometer sejam di atas Laut Filipina dan dijangka akan menjadi semakin kuat dalam tempoh 24 jam.

Ia mungkin menjadi ribut tropika kuat pada Isnin dan taufan pada Selasa, menurut Pentadbiran Perkhidmatan Astronomi, Geofizik dan Atmosfera Filipina. - Bernama-PNA/Anadolu Agency

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!