'The Greater Kedah' hala tuju untuk dicapai menjelang 2050 - MB

Sanusi (tengah) melihat buku yang menggariskan tentang pelaksanaan The Greater Kedah pada majlis pelancaran di Dewan Seri Mentaloon pada Ahad.
Sanusi (tengah) melihat buku yang menggariskan tentang pelaksanaan The Greater Kedah pada majlis pelancaran di Dewan Seri Mentaloon pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Blueprint atau rangka tindakan The Greater Kedah merupakan satu hala tuju untuk dicapai dalam tempoh menjelang 2050, ke arah membawa kesejahteraan kepada rakyat, mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan melindungi kelestarian alam sekitar di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, The Greater Kedah yang diilhamkan oleh Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu ialah sebuah gagasan besar meliputi seluruh aspek untuk generasi hari ini serta generasi akan datang.

"Usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Kedah melibatkan usaha pemerkasaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek terutama ekonomi, sosial, pengurusan hasil bumi, fiskal negeri, tadbir urus, perundangan, kehakiman syariah negeri serta kerjasama srategik, perancangan geopolitik serta aspek-aspek lain yang relevan dengan situasi dan keperluan semasa.

"Gagasan ini menyasarkan Kedah akan menjadi negeri nombor satu, dengan rakyatnya mampu menikmati kehidupan sejahtera dalam persekitaran yang berdaya huni di setiap sudut, lembah, gunung, pulau dan dataran negeri ini," katanya pada Majlis Pelancaran The Greater Kedah di sini pada Ahad,.

Muhammad Sanusi berkata, menerusi rangka tindakan gagasan itu, Kedah bersedia memikul tanggungjawab lebih besar untuk menjadi sebuah negeri yang penting sekali gus mampu membawa negara ini ke peringkat lebih tinggi.

"Blueprint ini tidak akan menerangkan secara terperinci gerak kerja yang perlu dijalankan oleh setiap agensi dan jabatan, tetapi menggariskan secara umum visi negeri untuk jangka panjang.

"Oleh itu, sikap proaktif jabatan dan agensi serta pendekatan melakukan kerja tanpa disuruh ialah kunci kepada kejayaan pelaksanaan The Greater Kedah. Saya percaya jika kita semua mengamalkan sikap ini, kita mampu mencapai hasrat gagasan lebih awal daripada yang kita sasarkan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, buat masa ini, hasil gagasan itu mungkin tidak kelihatan dalam bentuk fizikal atau touchable, tetapi pengisiannya akan ada dalam pelbagai bentuk dasar, pelan serta projek dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Memang ada kedengaran mengatakan gagasan ini masih tidak nampak hasil. Perlu untuk kita jelaskan bahawa untuk melihat hasil, tempohnya sangat lama, namun ia boleh dipercepat jika semua rakyat Kedah sedia untuk bersatu hati dan bermuafakat dengan sebaiknya," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!