Mahkamah tolak bantahan awal pendakwaan batal rayuan Rewcastle-Brown

Clare Rewcastle-Brown
Clare Rewcastle-Brown
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad menolak bantahan awal pendakwaan untuk membatalkan rayuan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun kerana memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas mendapati rayuan yang dikemukakan oleh Rewcastle-Brown adalah kompeten dan beliau harus diberikan hak untuk didengar.

"Ini adalah keputusan saya meskipun perayu telah berhujah bahawa beliau tidak menyerahkan dirinya kepada bidang kuasa mahkamah Malaysia bagi tujuan kes ini.

"Pemohon harus diberikan hak untuk mengemukakan rayuannya yang berpaksikan hujah bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan itu,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom yang turut disertai Rewcastle Brown.

Beliau turut memerintahkan agar pendengaran rayuan wanita itu diteruskan serta mengarahkan Rewcastle-Brown hadir secara fizikal bersama peguamnya, Guok Ngek Seong dan pasukan pendakwaan yang dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris.

Mohd Radzi berkata, kegagalan perayu untuk hadir akan diambil kira oleh mahkamah di akhir pendengaran kes secara merit.

Hakim itu turut menetapkan 3 November ini sebagai pengurusan kes bagi menyemak rekod rayuan.

Pada 6 Jun lepas, pendakwaan memohon untuk membatalkan rayuan Rewcastle-Brown bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya susulan tindakannya yang tidak pernah hadir pada mana-mana prosiding mahkamah sepanjang kes itu berlangsung iaitu sejak pendakwaan, sabitan mahupun rayuan.

Artikel Berkaitan:

Rewcastle-Brown yang beralamat di London, United Kingdom sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah memfitnah Sultanah Nur Zahirah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 7 Februari lepas.

Beliau telah menulis buku bertajuk The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 8 pagi 14 September 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama di sini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!