Lam Thye terima ijazah kedoktoran kehormat yang ketujuh

Lam Thye (kiri) ketika dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat yang ke-7 di Majlis Konvokesyen OUM ke-38 di WTCKL pada Sabtu.
Lam Thye (kiri) ketika dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat yang ke-7 di Majlis Konvokesyen OUM ke-38 di WTCKL pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis sosial, Tan Sri Dr Lee Lam Thye dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat yang ketujuh sempena Majlis Konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) ke-38 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah bidang Pendidikan tersebut berkata, penghormatan turut diberikan buat OUM yang telah mempelopori kaedah pembelajaran secara terbuka dan pengajian jarak jauh (PJJ) lebih 24 tahun lalu, sekali gus mewujudkan peluang kepada individu untuk mengimbangi antara kerja serta belajar.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) itu, ia memberi kuasa kepada rakyat di negara ini untuk mencapai matlamat akademik tanpa mengorbankan aspirasi profesional masing-masing.

"Ini merupakan ijazah kedoktoran kehormat ketujuh yang diterima daripada beberapa universiti awam dan swasta dalam negara.

"Diharapkan supaya anugerah ini akan meningkatkan semangat dan inspirasi serta menggalakkan orang ramai menyumbang bakti kepada masyararakat.

"Semoga ia juga menjadi pendorong buat semua rakyat Malaysia pelbagai kaum," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Lam Thye konsisten menabur bakti kepada masyarakat dengan menumpukan hal berkaitan perpaduan negara, keselamatan, kesihatan, tadbir urus, sosial, alam sekitar dan kebajikan.

Anak jati Ipoh, Perak itu menceburi bidang politik selama lebih 20 tahun dan pernah memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Nanas serta Ahli Parlimen Bukit Bintang.

Artikel Berkaitan:

Lam Thye juga pernah menerima beberapa pengiktirafan lain seperti Anugerah Cemerlang Muda Malaysia (1986) daripada Jaycees Malaysia; Anugerah Rotary Paul Harris Fellowship (1996); Lion International Melvin Jones Fellowship (2002) dan Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (2005).

Selain itu, Anugerah Perpaduan Negara (2008), Anugerah Kepimpinan BrandLaureate (2011), Anugerah Khas Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Tokoh Maulidur Rasul (2019).

Lam Thye turut menerbitkan buku biografi sulung berjudul ‘Aura Lee Lam Thye’ yang mengisahkan tentang liku kehidupannya bermula sebagai Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perdagangan (NUCW), wakil rakyat pada usia seawal 23 tahun sehingga aktif menjadi aktivis sosial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!