Enam kereta elektrik China diagih ke institusi TVET - Zahid

Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali peringkat Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO, Bagan Datuk hari ini. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali peringkat Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO, Bagan Datuk hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

BAGAN DATUK - Sebanyak enam kereta elektrik dari China akan diagihkan kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia untuk dijadikan bahan pembelajaran amali pelajar institusi terlibat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kereta berkenaan merupakan hadiah daripada Beifang Automotive Education Group kepada Malaysia.

"Kami merancang untuk mengagihkan masing-masing satu kenderaan elektrik (EV) ini kepada Automotive Center Institusi Kemahiran Tinggi Perda di Pulau Pinang dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Sarawak.

"Empat lagi kita akan agihkan kepada institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk GiatMARA, IKM (Institut Kemahiran MARA) dan beberapa yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membolehkan pelajar mendapat pendedahan teknologi baharu kenderaan elektrik yang semakin mendapat tempat dalam industri automatif, selain pendidikan berkaitan kenderaan konvensional.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata lebih 100 tenaga pengajar di negara ini telah dihantar ke China untuk mengikuti kursus automotif terbabit.

"Tempoh bagi kesemua tenaga pengajar yang menghadiri kursus berhubung automotif itu adalah antara tiga hingga enam bulan sahaja kerana ia bidang yang telah pun dipelajari mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata menerusi penambahan peruntukan TVET pada Belanjawan 2025 baru-baru ini, pihaknya akan berbincang dengan Beifang untuk menambah jumlah pelajar daripada pelbagai kaum di negara ini, mengikuti latihan di institusi itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerjasama dengan Beifang International Education setakat ini menyaksikan lebih 2,000 pelajar dihantar ke China - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!