Tempat kumpul barangan kitar semula terbakar
KOTA BHARU - Sebuah tempat pengumpulan barangan kitar semula terbakar dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2, di sini, pada Ahad.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang turut mengakibatkan keadaan api besar dengan kepulan asap hitam menjulang tinggi di kawasan berkenaan.
Sehingga jam 8 malam, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa serta Kota Bharu kini masih gigih menjalankan operasi memadamkan kebakaran.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi turut mendapat kebakaran semakin merebak dari bahagian hadapan ke belakang tempat pengumpulan barangan itu.
Kejadian juga menyebabkan kesesakan lalu lintas di hadapan kawasan kilang berkenaan.
Pihak polis yang tiba di lokasi bertindak membantu mengawal keadaan trafik dan menutup jalan sejauh 300 meter bagi membantu melancarkan usaha memadam api.
Seorang pengawal keselamatan sebuah pusat servis kenderaan yang terletak bersebelahan tempat kejadian, Tuan Salleh Tuan Kob, 59, berkata, dia yang berada di dalam pondok pengawal di pusat servis berkenaan dihubungi seorang pekerja lelaki pusat servis kenderaan itu yang baru pulang kerja tersebut.
“Ada pekerja kilang lain yang menelefonnya dan memberitahu tentang kebakaran sebelum dia kemudian menelefon saya untuk memeriksa keadaan terlebih dahulu.
“Semasa saya keluar, saya lihat api sudah marak membakar ketulan mampat barangan kitar semula kertas, plastik dan kain buruk bersebelahan tempat saya bekerja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, orang ramai membantu menghubungi bomba dan saya menunggu pekerja-pekerja lain datang untuk mengalihkan kira-kira 40 pacuan empat roda baharu jenis Ford yang di pusat servis berkenaan.
Menurutnya, kesemua pekerja pusat servis kereta yang baru pulang pada petang itu tiba semula dan bergegas mengalihkan kenderaan-kenderaan terbabit.
“Kenderaan juga dialihkan dua kali dan lebih jauh dari kawasan pusat servis kerana api semakin marak,” katanya.
Difahamkan kawasan dianggarkan seluas 0.2 hektar tersebut ditempatkan ketulan mampat kitar semula sejak hampir setahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!