Dua lelaki letak kepala babi di kedai makan diberkas

Naazron
Naazron
A
A
A

KAJANG - Tindakan biadab dua lelaki meletakkan kepala babi atas dapur sebuah kedai makan di Bandar Teknologi Kajang mengundang padah apabila diberkas pada 15 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tindakan dua suspek terbabit sebelum itu berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 11 Oktober lepas.

"Semakan mendapati dua individu memakai baju berwarna hitam dan memakai helmet hitam serta merah telah masuk ke dalam kedai berkenaan.

"Kedua-dua suspek itu kemudian bertindak meletakkan kepala babi atas kabinet dapur roti canai milik mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, susulan itu, mangsa berumur 18 tahun tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan dua suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 35 dan 51 tahun pada 15 Oktober lalu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dan mendapatkan bukti berkaitan kes ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298/427 Kanun Keseksaan.

"Maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan dua individu meletakkan kepala babi atas dapur sebuah gerai roti canai di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!