PPS dibuka, tempatkan 200 mangsa kebakaran di Tawau

Kesan kebakaran yang memusnahkan 38 buah rumah di kawasan seluas 0.63 hektar di Kampung Jati pada Ahad. Foto Bernama
Kesan kebakaran yang memusnahkan 38 buah rumah di kawasan seluas 0.63 hektar di Kampung Jati pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Batu 8 di sini malam ini bagi menempatkan kira-kira 200 mangsa selepas 38 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Jati, Batu 5, Jalan Apas, di sini tengah malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Hamild Awang berkata, PPS itu diaktifkan bagi menempatkan mangsa daripada 48 keluarga terjejas akibat kejadian berkenaan.

Beliau berkata, mangsa yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat ini terdiri daripada 100 lelaki termasuk sembilan bayi lelaki manakala 100 lagi merupakan mangsa wanita.

Beberapa mangsa kebakaran memilih pakaian terpakai yang disumbangkan oleh NGO. Foto Bernama
Beberapa mangsa kebakaran memilih pakaian terpakai yang disumbangkan oleh NGO. Foto Bernama

"Terdapat 178 mangsa warganegara manakala 22 mangsa lagi bukan warganegara," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.55 tengah malam tadi dan 38 rumah musnah terbakar serta seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun ditemukan rentung di dalam rumah.

Katanya pihak bomba turut berjaya menyelamatkan kira-kira 68 rumah berhampiran sebelum operasi ditamatkan pada pukul 5.59 pagi tadi. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!