Lelaki dikhuatiri lemas selepas beli ikan di Pasar Bisik
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas membeli ikan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah hari Ahad.
Mangsa, Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, dari Kampung Teluk Wang, dikatakan ke lokasi berkenaan untuk membeli ikan segar yang baru dinaikkan di jeti pendaratan ikan tersebut.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh ketika berada di muara sungai berkenaan dan hilang secara tiba-tiba dari pandangan orang ramai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.41 tengah hari memaklumkan kejadian itu.
Menurutnya, jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sampai ke Pasar Bisik pada jam 1.13 petang dengan jarak ke lokasi 22 kilometer.
"Seramai lapan anggota BBP Tikam Batu dari jentera LFRT K1-21, 13 anggota FRT, EMRS dan 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi untuk mencari dan menyelamat.
"Tindakan awal operasi pencarian dibuat secara surface searching," katanya.
Beliau menjelaskan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut menggunakan sebuah bot aluminium dan dibantu beberapa bot nelayan.
Namun, jelasnya, keadaan hujan di laut dan air bergelora serta berombak menyebabkan penyelaman oleh pasukan PPDA tidak dapat dilakukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan mangsa.
Menurutnya, panggilan kecemasan MERS 999 diterima oleh rakan mangsa pada jam 12.25 tengah hari memaklumkan kejadian itu.
"Ops SAR diaktifkan pada jam 1 petang di perairan Kota Kuala Muda berhampiran Pasar Bisik Kampung Tepi Sungai.
"Selain Polis Diraja Malaysia, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan nelayan turut menyertai operasi pencarian," katanya.
Wan Azharudin berkata, kawasan pencarian dilaksanakan dengan jarak dua kilometer persegi dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
"JBPM, APM serta bantuan nelayan digerakkan lebih awal tetapi gagal menemui mangsa disebabkan arus deras akibat hujan lebat berterusan.
"Pada jam 7 petang, pencarian dihentikan kerana keadaan cuaca agak gelap dan laut bergelora. Operasi SAR bersambung Isnin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!