Pengguna kereta api Jerman bakal berdepan gangguan selama 80 minggu

Pengguna kereta api dari barat Jerman ke Belanda akan berdepan gangguan yang berpanjangan selama 80 minggu. Foto AFP
Pengguna kereta api dari barat Jerman ke Belanda akan berdepan gangguan yang berpanjangan selama 80 minggu. Foto AFP
A
A
A

BERLIN - Pengguna kereta api dari barat Jerman ke Belanda akan berdepan gangguan yang berpanjangan selama 80 minggu berikutan pembinaan sebuah koridor pengangkutan kargo utama EU yang baharu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Laluan dari Oberhausen di Wilayah Ruhr melalui Emmerich ke Belanda akan hanya boleh dilalui secara terhad atau tidak boleh dilalui sepenuhnya, menurut pengendali kereta api Jerman, Deutsche Bahn.

"Kuantiti pembinaan yang belum pernah terjadi sebelumnya dijangka berlanjutan sehingga 17 Mei 2026," menurut syarikat itu.

Mulai awal November, penumpang harian, trafik jarak jauh dan industri di sepanjang laluan utama itu akan terkesan.

Kerja-kerja pembinaan ini sebahagian projek prestij untuk pengangkutan kargo Eropah.

Bahagian sepanjang kira-kira 73 kilometer ini sebahagian koridor kargo Eropah yang menghubungkan pelabuhan Laut Utara di Rotterdam ke Genoa di Mediterranean, sebuah projek utama untuk dasar pengangkutan EU.

"Apa yang kami rancang dalam fasa pembinaan mulai November ini adalah unik dalam sejarah projek pengembangan ini," kata Pengurus Projek Stefan Ventzke.

Sepanjang 80 minggu akan datang, laluan ini akan menjadi trek tunggal untuk dua pertiga masa, yang masih akan menyebabkan perkhidmatan dihadkan.

Artikel Berkaitan:

Bahagian ini akan ditutup sepenuhnya dari Jumaat sehingga 24 November. Laluan kereta api jarak jauh antara Cologne dan Belanda akan dialihkan dan oleh itu, mengambil masa yang lebih lama.

Syarikat-syarikat di rantau ini tidak akan dapat menggunakan kereta api barang untuk logistik mereka dalam tempoh ini. - Bernama-dpa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!