Taufan Kristine: Helikopter TUDM mula hantar bantuan ke Bicol, Filipina
LABUAN - Sebuah helikopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan telah digerakkan bagi menghantar barangan keperluan pada hari pertama Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke kawasan terjejas di Filipina.
TUDM dalam kenyataan kepada Bernama malam ini memaklumkan misi itu membabitkan penerbangan pergi balik dari Pangkalan Udara Villamor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol dengan membawa tiga unit bot angin berserta enjin sangkut dan sepuluh kotak peralatan menyelamat.
Menurut TUDM, semua barangan yang dihantar adalah untuk kegunaan di kawasan pedalaman dan sekitar bandar Legazpi di Bicol yang terjejas teruk akibat dilanda Taufan Kristine (Trami).
Penerbangan itu dikendalikan oleh Mejar Aslam Hariri dengan dibantu dua kru dan tiga juruteknik pesawat.
Turut serta dalam misi HADR itu Tentera Udara Filipina (PAF) dan Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).
TUDM akan menyambung misi HADR itu esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!