Tarik segera produk ada kandungan berbahaya - FOMCA

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Saravanan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menarik balik dengan segera pasaran makanan atau produk yang terbukti mempunyai kandungan berbahaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata, pihak berwajib juga wajar mengeluarkan makluman awal kepada pengguna bagi mengelakkan pembelian produk itu sehingga keselamatannya disahkan.

Menurutnya, langkah segera dan tegas patut dilaksanakan untuk melindungi pengguna daripada risiko kesihatan yang mungkin timbul akibat anggur import jenis Shine Muscat yang didakwa mengandungi sisa kimia berbahaya.

“Pemeriksaan serta-merta di pintu masuk negara harus dilaksanakan bagi memastikan tiada stok berbahaya memasuki pasaran tempatan sementara menunggu keputusan analisis daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Pada masa sama, kerjasama dengan pihak berkuasa negara pengeksport tersebut diperlukan bagi memastikan isu ini diselesaikan dan tidak lagi berulang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu ujarnya, penilaian semula protokol import dan pengukuhan kawalan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) juga penting bagi memastikan hanya produk mematuhi piawaian keselamatan dibenarkan masuk negara ini.

Jelas beliau, langkah menyeluruh tersebut akan membantu mengurangkan risiko kepada kesihatan pengguna dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan makanan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!