Bentuk unit integriti dalam PBT
SHAH ALAM - Penurunan skor dan kedudukan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) susulan penyenaraian kriteria baharu berkaitan pencegahan rasuah perlu diambil secara positif bagi membaiki kelemahan masing-masing.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, dasar baharu itu juga mencerminkan kesungguhan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan prestasi terutama dalam aspek integriti.
“Usaha KPKT untuk memasukkan komponen rasuah SPB-PBT amat dialu-alukan. Sepatutnya komponen rasuah ini dimasukkan dari awal lagi. Usaha ini boleh meningkatkan lagi integriti dalam PBT.
“Penurunan skor dan kedudukan di beberapa PBT adalah sesuatu yang harus diambil secara positif dan cuba perbaiki apa-apa kelemahan dan berusaha meningkatkan prestasi. Itulah semangat yang sepatutnya ada pada PBT,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Sabtu mendedahkan sejumlah 12 PBT diturunkan penarafan di bawah SPB-PBT susulan penyenaraian kriteria baharu berkaitan pencegahan rasuah.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan senarai 12 PBT yang dimaksudkannya itu selain menegaskan kriteria penilaian baharu tersebut diwujudkan bagi memastikan negara dapat meningkatkan kedudukannya dalam kedudukan indeks persepsi rasuah (CPI).
Sementara itu, Muhammad mencadangkan supaya skor dan ranking SPB PBT dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) ketua PBT dan secara tidak langsung turut diturunkan kepada pegawai bawahan.
Beliau dalam masa sama turut mengesyorkan supaya papan pemuka dan pencapaian dibentuk bagi membuktikan ketelusan dalam menjaga integriti.
“Melalui papan pemuka yang diwujudkan nanti ia boleh menunjukkan pencapaian PBT lain untuk dijadikan rujukan atau panduan kepada yang lain,” katanya.
Selain itu, Muhammad turut menggesa supaya KPKT dan SPRM bekerjasama untuk membentuk unit integriti dalam PBT pada kadar segera.
Ini kerana katanya, PBT di negeri-negeri belum mempunyai unit berkenaan.
“Usaha ini tidak memerlukan kos atau beban yang besar kerana tenaga kerja yang diperlukan untuk setiap unit integriti hanya melibatkan dua atau tiga orang sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!