Pasar malam boleh lumpuh lima tahun lagi
SHAH ALAM - Operasi perniagaan pasar malam seluruh negara dijangka lumpuh dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang sekiranya tiada mekanisme yang adil daripada kerajaan untuk memastikan perniagaan dalam talian tidak terus menggugat mata pencarian penjaja dan peniaga kecil.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (G3PM), Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, meskipun pihaknya menggalakkan golongan peniaga menerokai perniagaan secara dalam talian, realitinya ia bukan perkara mudah dan sesuai untuk semua golongan lebih-lebih lagi bagi peniaga makanan yang bergantung kepada jumlah kehadiran pengunjung secara fizikal.
Kerana itu menurutnya, dengan adanya perniagaan dalam talian, sukar untuk pasar malam kembali hidup seperti kemeriahan era 1980-an yang menyaksikan kehadiran ramai pengguna mencari pelbagai barangan keperluan termasuk barangan kering yang dijual.
“Jika kerajaan tidak ambil langkah untuk sekat sistem perniagaan dalam talian ini, peniaga-peniaga pasar malam tidak ada pengunjung.
“Kalau nak kekalkan sistem dalam talian ini, perlu ada satu kaedah yang lebih terperinci dan menyeluruh supaya tidak gugat golongan peniaga kecil ini.
“Saya lihat jika keadaan seperti sekarang dibiarkan, lima tahun akan datang, pasar malam akan pudar kerana tiada lagi pengunjung. Mungkin apabila peniaga-peniaga kehabisan modal, operasi perniagaan akan lumpuh,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas laporan muka depan Sinar Ahad berhubung perniagaan pasar malam yang semakin malap apabila trend jualan dalam talian dikatakan ‘membunuh’ kemeriahan pasar malam di negara ini khususnya peniaga pakaian, aksesori dan kosmetik kerana ia didakwa lebih mudah, murah serta banyak pilihan.
Jumlah peniaga pasar malam juga dilapor berkurangan dan kebanyakan yang masih bertahan adalah peniaga makanan yang turut berdepan tekanan kos harga bahan mentah yang semakin meningkat.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, perkembangan itu sememangnya realiti yang sedang berlaku, tidak terkecuali bagi operasi perniagaan pasar malam di Kuala Lumpur (KL) yang mempunyai populasi dan kuasa membeli lebih tinggi.
Ujarnya, sejumlah 99 tapak pasar malam di ibu negara dengan lebih 12,000 peniaga turut mengalami kemerosotan sekurang-kurangnya 30 peratus selain menyaksikan ramai peniaga mengurangkan hari operasi di tapak-tapak tertentu disebabkan sambutan yang kurang memberangsangkan.
“Jika KL pun merosot, bagaimana dengan peniaga-peniaga luar? Keuntungan semua cukup makan sahaja. Hasil jualan tidak boleh nak menyimpan.
“Bila mata pencarian mereka merosot, ia juga akan jejaskan kesihatan mental dan institusi kekeluargaan,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!