Gaza berdepan detik paling hitam

Seorang kanak-kanak yang diselamatkan di bawah runtuhan bangunan selepas Zionis terus memperhebatkan kempen pengeboman di Genting Gaza.
Seorang kanak-kanak yang diselamatkan di bawah runtuhan bangunan selepas Zionis terus memperhebatkan kempen pengeboman di Genting Gaza.
A
A
A

GENTING GAZA - Perang tiada kesudahan di Genting Gaza kini berdepan detik paling hitam terutamanya di kawasan utara wilayah itu ketika komuniti antarabangsa memberi tumpuan penuh terhadap konflik baharu di Lubnan dan potensi Perang Iran-Israel.

Kekejaman berterusan Israel telah menyebabkan lebih 150,000 orang tidak berdosa terkorban, cedera atau hilang tanpa jejak di Gaza sejak setahun lalu.

“Ia sukar dibayangkan kerana situasi semakin teruk dari hari ke hari.

“Perkara yang paling saya bimbang adalah operasi ketenteraan yang diperluaskan di utara Gaza. Angka korban kezaliman itu akan pastinya akan meningkat secara dramatik,” kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk.

'Bandar khemah' baharu di tengah Gaza didirikan penduduk Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza.
'Bandar khemah' baharu di tengah Gaza didirikan penduduk Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza.

Sejak awal bulan lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan serangan dari pelbagai arah atas alasan mahu menghalang pejuang Hamas daripada bergabung semula setelah markas mereka dimusnahkan sebelum ini.

“Ia sememangnya satu bentuk kempen pembersihan etnik. Kita sedang menyaksikan jenayah kemanusiaan sedang berleluasa,” ujarnya.

Turk turut menggesa pemimpin dunia supaya segera bertindak memandangkan semua negara antarabangsa bertanggungjawab di bawah Konvensyen Geneva untuk memastikan semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya membuat gesaan itu selama beberapa bulan, namun tidak dihiraukan. Perang genosid terus berlaku dan semakin melampaui batas. Hujan peluru tanpa henti di utara Gaza,” tegasnya.

Beliau turut menyelar arahan pemindahan paksa yang dikeluarkan berulang kali terhadap penduduk Palestin.

“Mereka sudah tiada tempat selamat lagi mahu dituju. Akses penghantaran bantuan ke Gaza juga adalah terhad dan tiada bekalan baharu diterima sejak beberapa minggu lalu. Kebanyakan penduduk Palestin kini kebuluran,” menurutnya.

Sebuah keluarga yang tiba di Bandar Gaza setelah berpindah dari kawasan utara.
Sebuah keluarga yang tiba di Bandar Gaza setelah berpindah dari kawasan utara.

MALAPETAKA DAHSYAT

Pada Sabtu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tentang situasi yang semakin meruncing di utara Gaza susulan pencerobohan ganas Zionis yang turut menyasarkan kemudahan kesihatan.

“Mangsa di sana sedang berdepan malapetaka dahsyat,” tegas ketuanya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi platform X.

Beliau memberi amaran bekalan ubat-ubatan penting juga semakin berkurangan akibat sekatan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan.

Jelasnya, WHO terputus hubungan dengan staf mereka di Hospital Kamal Adwan setelah ia digempur IDF pada Jumaat.

Penduduk Palestin beratur menunggu giliran untuk mengisi bekalan air bersih di Beit Lahia, utara Gaza.
Penduduk Palestin beratur menunggu giliran untuk mengisi bekalan air bersih di Beit Lahia, utara Gaza.

Ketika insiden itu, tiga pekerja kesihatan dan seorang lagi petugas dilaporkan cedera manakala puluhan staf ditahan di kemudahan itu yang menempatkan kira-kira 600 pesakit dan penduduk Palestin hilang tempat tinggal.

“Hanya tinggal dua staf termasuk seorang doktor untuk merawat hampir 200 pesakit setelah penahanan 44 petugas perubatan. Laporan tentang kemudahan yang sengaja dimusnahkan IDF ketika serbuan itu sememangnya tidak boleh diterima.

“Hospital sepatutnya dilindungi meskipun ketika konflik. Sebarang serangan ke atas kemudahan kesihatan adalah melanggar undang-undang antarabangsa. Satu-satunya cara untuk melindungi sistem kesihatan Gaza adalah gencatan senjata serta-merta tanpa syarat,” katanya. - AFP

Kanak-kanak tidak berdosa terus menjadi korban kezaliman Israel di Khan Yunis, selatan Gaza.
Kanak-kanak tidak berdosa terus menjadi korban kezaliman Israel di Khan Yunis, selatan Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!