Kibar bendera negara asing isu sensitif
NEGARA sekali lagi kecoh apabila sekumpulan rakyat China mengibarkan bendera negara mereka dalam satu acara di Taiping baru-baru ini.
Seingat Merak Jalanan, ini bukan kali pertama isu seperti ini mencetuskan kontroversi di negara ini.
Sebelum ini kecoh berhubung kunjungan kapal latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China di Pulau Pinang, dua minggu lalu.
Dalam kunjungan tersebut, sekumpulan pelajar yang juga dari negara tersebut dilihat mengibarkan bendera China.
Pihak pembangkang mengkritik keras kedua-dua insiden tersebut dan mengaitkan dengan tindakan China yang sering menceroboh perairan negara di Laut China Selatan.
Hujah mereka, tindakan China itu bukan sahaja mengancam kedaulatan negara malah membahayakan keselamatan nelayan dan penduduk khususnya di Sabah dan Sarawak.
Tetapi malangnya ada pihak membuat tuduhan bahawa tindakan mengibarkan bendera asing tersebut turut dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri yang dikatakan tidak setia kepada negara.
Tuduhan ini bukan perkara baharu dan sudah jadi satu isu yang sangat sensitif terutama dalam kalangan rakyat.
Rasa curiga antara satu sama lain sentiasa menjadi duri dalam daging terutama perhubungan antara kaum di negara ini.
Bagi Merak Jalanan, jika benar perkara yang berlaku itu ada agenda tersembunyi, memang wajar pihak berkuasa ambil tindakan.
Tetapi dalam masa yang sama adalah amat wajar supaya semua pihak terutama pembangkang tidak cuba menangguk di air yang keruh.
Isu sensitif seperti ini tidak baik untuk kemajuan dan kemakmuran negara dan ia tidak perlu digembar-gemburkan secara berlebihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!