Mahu ke mana Pak Prabowo?

Prabowo ketika mengangkat sumpah jawatan selaku presiden baharu Indonesia di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat, Jakarta pada 20 Oktober lalu. Foto Bernama
Prabowo ketika mengangkat sumpah jawatan selaku presiden baharu Indonesia di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat, Jakarta pada 20 Oktober lalu. Foto Bernama
A
A
A

Kita harus berlaku adil pada Prabowo Subianto, Presiden Indonesia kelapan yang dinobatkan pada 20 Oktober lalu. Berilah beliau peluang untuk membuktikan keupayaannya.

Prabowo baru sahaja mengisytiharkan anggota Kabinetnya. Seramai 48 menteri telah dilantik, jumlah anggota Kabinet yang kedua terbesar dalam sejarah negara itu. Mungkin bagi beliau ada keperluan untuk mewujudkan kementerian yang banyak. Namun tindakan itu mengundang kritikan. Dalam konteks Indonesia dipersendakan sebagai ‘Kabinet gemoy’ – label yang diberikan ke atas beliau sendiri yang bertubuh besar.

Paling hangat dibincangkan adalah komposisi Kabinet itu – 17 orang menteri yang dilantiknya adalah daripada Kabinet mantan Presiden Joko Widodo (Jokowi). Maka itu timbullah soalan, “Kabinet siapakah ini sebenarnya?”

Apakah benar bahawa Jokowi memainkan peranan dalam pemilihan Kabinet Prabowo? Atau Jokowi demikian berpengaruh hingga Prabowo terpaksa akur pada kehendaknya?

Memang tidak dapat dinafikan Prabowo terhutang budi pada Jokowi. Prabowo tidak mungkin menang tanpa sokongan Jokowi semasa Pilpres yang lalu. Prabowo menumpang approval rating Jokowi yang sentiasa tinggi dalam kalangan rakyat

KOALISI

Sewaktu berkempen bukan rahsia lagi Jokowi menggunakan kemudahan kerajaan, termasuk bantuan sosial (bansos) untuk memenangkan Probowo dan anaknya, Gibran Rakabuming Raka yang bertanding sebagai timbalan presiden.

Apakah yang sebenarnya berlaku sewaktu makan malam bersama Jokowi di Jakarta dan kemudiannya Prabowo menemui Jokowi di Solo beberapa hari menjelang tarikh pengunduran Jokowi? Apakah Jokowi mahu kepastian bahawa beberapa perkara yang dipersetujui oleh mereka sebelum ini, termasuk pemilihan menteri, dikotakan Prabowo?

Artikel Berkaitan:

Prabowo bukan lembu dicucuk hidung. Beliau seorang perajurit, patriot dan ahli politik yang memahami makna kekalahan dan telah cukup teruji. Tetapi realiti politik mungkin menyebabkan beliau harus bijak menarik tali, mengikut lenggok Jokowi, sekurang-kurangnya buat beberapa waktu ke hadapan.

Saya berkeyakinan penuh Prabowo yang sebenar akan muncul dan menunjukkan belang dan taringnya. Saya penuh percaya beliau tidak akan mengekalkan komposisi Kabinetnya seperti sekarang. Dan saya juga pasti beliau tidak akan melindungi Jokowi yang rata-rata dituntut oleh masyarakat untuk menerima tanggungjawab pada apa yang dilakunya selama 10 tahun ini.

Berita yang baik tentang Kabinet Probowo adalah 25 orang anggota Kabinet itu datangnya daripada golongan profesional, pimpinan badan agama dan NGO, hanya 23 orang daripada parti politik.

Harus diingat bahawa hampir kesemua parti utama di Indonesia ‘bergabung’ dengan Prabowo, termasuklah beberapa buah parti yang tidak menyokongnya dalam Pilpres. Maka itu gabungan ini dikenal sebagai Koalisi Indonesia Maju atau KIM-Plus. Parti Nasdem walaupun tidak diberikan kerusi menteri (atas permintaan parti tersebut) tetap menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) tidak bersama koalisi itu namun tetap menyatakan sokongannya pada Prabowo. PDI-P sebenarnya tidak bermasalah dengan Prabowo. Sebaliknya PDI-P tidak dimasukkan dalam gabungan itu disebabkan Jokowi yang tidak menghendakinya. Perihal Jokowi tidak senang dengan PDI-P memang diketahui umum. Malah ketua PDI-P, Megawati Sukarnoputri menganggap Jokowi seorang penderhaka.

Banyak pihak menanyakan apakah KIM-Plus petanda buruk buat demokrasi Indonesia? Apabila sebuah kerajaan tidak punya pembangkang yang berkesan maka tidak ada semak dan imbang yang diharapkan. Indonesia sudah melihat apa yang berlaku sewaktu Orde Baru Presiden Suharto dan sewaktu Jokowi menjadi presiden.

Suharto dan Jokowi dituduh menggunakan kesempatan tidak wujudkan pembangkang yang kuat untuk melunturkan demokrasi.

PARADOKS TERSENDIRI

Prabowo sedar kompleksiti Indonesia. Negara itu punya lebih 270 juta penduduk, negara Muslim yang paling besar dan demokrasi ketiga terbesar di dunia. Ini merupakan negara yang terdiri daripada 100,000 pulau dari Sabang di hujung Sumatra hingga Merauke di Papua. Indonesia dihuni oleh 1,340 kelompok etnik yang menggunakan 716 bahasa setempat.

Indonesia adalah negara yang kaya dengan sumber asli. Dengan jumlah penduduk, kemampuan teknologi, sumber alam serta daya manusia, Indonesia punya potensi untuk menjadi ekonomi yang boleh mengalahkan United Kingdom (UK) dalam waktu yang terdekat.

Namum demikian Indonesia punya paradoksnya yang tersendiri. Judul buku Prabowo yang terhasil pada tahun 2019 adalah Paradoks Indonesia: Kaya Raya, Tetapi Masih Banyak Rakyat Hidup Miskin. Buku itu mengupas keadaan sebenar negara itu. Indonesia mampu ‘menjadi negara kelas atas yang disegani dan dihormati’. Setiap rakyat Indonesia sepatutnya boleh hidup sejahtera dan Indonesia berpotensi menjadi kuasa ekonomi yang besar. Namun bagi Prabowo terdapat dua cabaran utama bagi Indonesia, “kekayaan kita yang terus mengalir keluar” dan “demokrasi kita yang dikuasai pemodal besar.”

Pandangan ini tentulah menarik disebabkan rekod Prabowo sendiri. Beliau adalah mantan menantu Presiden Suharto. Sewaktu kebangkitan pelajar dan rakyat pada tahun 1998, beliau dituduh bertanggungjawab menggunakan tentera untuk menculik dan menyiksa aktivis reformasi. Tuduhan yang dianggap pelanggaran hak asasi manusia itulah yang menyebabkan beliau dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat (AS) satu masa dahulu. Prabowo juga disokong oleh kumpulan ahIi perniagaan terbesar atau oligarki di Indonesia sewaktu Pilpres.

Prabowo sedar bahawa untuk mencapai sasaran Indonesia Emas 2045 beberapa isu harus diselesaikan dahulu. Salah satu daripadanya adalah soal rasuah. Prabowo berjanji akan mencari koruptor hingga ke Antartika. Namun demikian banyak yang sinis bahawa dalam kalangan menteri yang dilantiknya ada yang punya rekod yang mencurigakan.

Prabowo mahu memerangi kemiskinan sampai ke akar umbi. Berdasarkan statistik terbaharu, sembilan peratus rakyat negara itu masih hidup dalam kemiskinan tegar, ini bererti lebih 25.6 juta orang. Dalam beberapa ucapannya, Prabowo jelas mengatakan apakah maknanya Indonesia berada dalam kelompok negara-negara G20 sekiranya ramai rakyatnya masih hidup susah.

Apakah ertinya kemakmuran negara sekiranya seorang yang berusia 70 tahun masih perlu menarik beca.

Beliau juga sedar ramai anak-anak sekolah di negara itu yang pergi ke sekolah kelaparan. Maka itu sebahagian kempen Pilpresnya adalah memberi sarapan bagi anak-anak ini. Juga memberikan makan percuma pada rakyat yang miskin.

Apakah Prabowo akan mengorbankan projek mega era Jokowi seperti ibu kota negara (IKN) Nusantara untuk menampung kos makan percuma yang mahal itu?

Sama-samalah kita lihat nanti.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik Indonesia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!