Bersediakah kita untuk memaafkan Najib?
ADA pelbagai reaksi selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat permohonan maaf berhubung salah laku membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu datang beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Bekas Presiden UMNO itu memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB yang berada di bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
Susulan daripada permohonan maaf tersebut, ada pakar perundangan menyatakan perbuatan tersebut subjudis iaitu perbincangan satu kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.
Ada pakar undang-undang yang lain pula mengatakan sebaliknya dan menganggap ia adalah satu strategi yang bijak menjelang keputusan kes tersebut.
Turut menarik perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf tersebut.
Walau apa pun, Najib masih perlu melalui proses perundangan sama ada beliau perlu membela diri atau sebaliknya.
Kita meletakkan kepercayaan penuh bahawa badan kehakiman akan melaksanakan proses perundangan dengan seadil-adilnya tanpa dipengaruhi oleh apa jua keadaan.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia juga berbelah bahagi sama ada mahu memaafkan Najib atau tidak.
Sudah tentu penyokong-penyokong kuat beliau melihat permohonan maaf itu adalah satu tindakan yang amat mulia dan berjiwa besar.
Namun ada dalam kalangan rakyat yang melihat Najib harus menerima hukuman di atas kesilapannya, malah tidak bersetuju jika Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
1MDB adalah satu tragedi besar kepada negara, kita tidak boleh benarkan lagi kejadian yang seumpama itu berlaku pada masa depan.
Bersedialah untuk dihukum oleh rakyat sekali lagi jika ada pemimpin yang berani melakukan kecurangan yang merugikan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!