Perhalusi pelaksanaan menginap 23 jam di hotel

Penginapan 23 jam dianggap tidak masuk akal bagi penggiat industri hotel kerana ia menjejaskan operasi secara keseluruhannya - Gambar hiasan
Penginapan 23 jam dianggap tidak masuk akal bagi penggiat industri hotel kerana ia menjejaskan operasi secara keseluruhannya - Gambar hiasan
A
A
A

BARU-baru ini kecoh apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Kenyataan itu menjadi topik hangat dalam kalangan warga maya yang rata-rata menyokong usaha terbabit. Netizen menyifatkan langkah itu tepat dan berbaloi dengan wang yang dibelanjakan untuk bermalam di hotel.

Bagaimanapun, bagi penggiat industri hotel, perkara itu dianggap tidak masuk akal kerana ia menjejaskan operasi secara keseluruhannya.

Pengusaha hotel mendakwa, tiada mana-mana negara di dunia ini memperkenalkan waktu menginap sehingga 23 jam. Mereka menjelaskan sekiranya dasar itu dilaksanakan ia dibimbangi menyebabkan kenaikan kadar penginapan ekoran terpaksa menggaji pekerja lebih ramai.

Kerajaan seharusnya mengadakan pertemuan atau sesi dialog awam bersama pengusaha atau persatuan hotel serta pihak terlibat sebelum sebarang keputusan ditetapkan.Jika tidak ditangani segera, kita bimbang sektor pelancongan yang menjadi salah satu penyumbang kepada pendapatan negara terjejas.

Di sebalik isu ini, kita sebenarnya terpaksa menerima hakikat bahawa kos untuk menginap hotel di Malaysia jauh lebih tinggi terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Hasil tinjauan penulis di beberapa laman sesawang carian hotel mendapati, berlaku kenaikan 30 hingga 50 peratus harga penginapan pada waktu puncak terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Sudah tentu keadaan ini membebankan pengguna yang terpaksa berbelanja lebih untuk penginapan sedangkan boleh digunakan untuk tujuan lain seperti membeli-belah, makan minum, aktiviti rekreasi, pengangkutan dan lain-lain sepanjang tempoh lawatan.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, faktor harga tinggi mengurangkan minat rakyat tempatan untuk melancong dalam negara dan lebih seronok bercuti di Thailand atau Indonesia yang lebih murah.

Barangkali apabila pelancong semakin berkurang, barulah kita hendak merungut sedangkan negara jiran menawarkan harga jauh lebih murah bagi tempat penginapan, selain pilihan makanan dan tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Kerajaan tidak boleh lepas tangan, sebaliknya perlu melakukan sesuatu bukan sahaja menarik kedatangan pelancong asing tetapi menggalakkan rakyat terus melancong dalam negara.

Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM550 juta bagi mempergiatkan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Peruntukan besar itu diharap dapat digunakan dengan sebaik-baiknya bagi menarik kedatangan pelancong yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Situasi menang-menang antara pengusaha hotel dan pelanggan perlu diperhebat bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara. Semua pihak mesti bekerjasama dan tidak menuding jari antara satu sama lain bagi mencari kesalahan.

Beberapa cadangan turut dikemukakan kepada pengusaha hotel antaranya waktu daftar masuk dipercepatkan satu jam lebih awal berbanding jam 3 atau 4 petang sekarang.Daftar keluar pula dikekalkan sebelum jam 12 tengah hari bagi memberi ruang kepada pekerja hotel mengemas bilik penginapan.

Hotel memerlukan masa sekiranya berlaku kerosakan dan masalah teknikal di dalam bilik penginapan seperti isu kepala paip tercabut, tandas tersumbat, penyaman udara tidak sejuk dan sebagainya.

Jika waktu disingkatkan sekali pun, kita berharap mutu kebersihan hotel diberi keutamaan dan tidak hanya melepaskan batu di tangga.

Di pihak pengguna pula, mereka pastinya inginkan perkhidmatan hotel pada tahap terbaik seiring dengan wang yang telah dibayar.

Bagi memenuhi komitmen antara kedua-dua belah pihak itu, hotel diharap dapat memberi kelonggaran untuk pelanggan masuk lebih awal sekiranya bilik sudah tersedia.

Bagi pelanggan hotel yang daftar lewat pula, besarlah harapan untuk pihak hotel mengurangkan kadar penginapan. Barulah wujud situasi menang-menang.

* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/KL.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!