108,456 sukarelawan turun padang

Tuanku Syed Faizuddin mencemar duli merasmikan salah satu program diadakan sempena World Cleanup Day 2024.
Tuanku Syed Faizuddin mencemar duli merasmikan salah satu program diadakan sempena World Cleanup Day 2024.
A
A
A
Penganjuran World Cleanup Day 2024 yang bermula 21 hingga 29 September lalu membuahkan hasil positif apabila mencatatkan penglibatan seramai 108,456 sukarelawan, 461 agensi dan 1,280 lokasi pelaksanaan di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, 5,822 tan metrik (MT) sisa berjaya dikumpulkan berbanding tahun lepas yang mencatatkan sekadar 241 MT.

Ia menunjukkan komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) membersihkan negara mendapat perhatian pelbagai pihak.

Audit sisa juga merekodkan kutipan tertinggi merangkumi 49,968 puntung rokok; 1,936 unit pelitup muka; 72,882 kilogram (kg) kertas boleh dikitar semula; 132,829 kg sisa pukal atau kebun dan 5,429,097 kg bahan buangan bercampur.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, program bertemakan We Clean The World itu dilaksanakan selaras matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera di samping memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Ia juga sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu mempercepatkan pertumbuhan hijau demi kemampanan negara melalui peningkatan kecekapan dan keberkesanan kos serta pengurangan kebergantungan kepada sumber asli.

Tuanku Syed Faizuddin (tengah) bersama sukarelawan sempena World Cleanup Day 2024.
Tuanku Syed Faizuddin (tengah) bersama sukarelawan sempena World Cleanup Day 2024.



“Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kebersihan persekitaran terjaga kerana ia bukan di bawah tanggungjawab agensi yang menguruskan pembersihan semata-mata.

“Melalui aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa ini, diharapkan supaya masyarakat lebih cakna tentang penjanaan sisa di rumah dan menyedari kepentingan menguruskan bahan buangan dengan betul,“ katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:


World Cleanup Day merupakan program global tahunan yang mula diperkenalkan oleh agensi antarabangsa iaitu Let’s Do It World pada 2008 di Tallion, Estonia bagi menangani masalah pencemaran sisa pepejal melalui aktiviti pembersihan kawasan secara serentak melibatkan 50,000 sukarelawan selama lima jam.

Inisiatif tersebut mencetuskan inspirasi kepada negara-negara lain untuk berbuat perkara sama berteraskan formula ‘Satu Negara Satu Hari’ sehingga menjadi gerakan dunia melibatkan pembersihan secara serentak dengan menghimpunkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang bermula 2018.

Sehingga 2023, penganjuran program berkenaan telah berjaya merekodkan penyertaan seramai 91 juta sukarelawan dengan kerjasama 211 negara dan jajahan, malah kutipan setakat ini mencatatkan sebanyak 543,704 MT sisa di seluruh dunia.

Pada 2020, KPKT melalui SWCorp buat julung kalinya menyahut cabaran global dengan mengadakan sambutan World Cleanup Day serentak di enam negeri melibatkan 3,961 sukarelawan dan kutipan sisa mencecah 13,529 kg.

Pertandingan terbuka buat penganjur, sukarelawan

No Image Caption



Khalid memaklumkan, acara sambutan tahunan yang ditetapkan oleh United Nation (UN) setiap 20 September bermula tahun ini turut disambut baik agensi kerajaan, swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan tinggi (IPT), sekolah rendah, sekolah menengah dan komuniti.

Tambah beliau, KPKT juga menggerakkan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, syarikat konsesi, komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR), komuniti PR1MA Home, 156 PBT, semua kementerian dan rakan strategik KPKT di seluruh negara.

Ia bagi melaksanakan World Cleanup Day menerusi Hari Cuci Malaysia 2024: Program Pembersihan Mega Seluruh Negara dan berhasil mencatatkan tiga Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu bilangan peserta teramai dalam acara gotong-royong, kutipan sisa pepejal terberat serta gotong-royong terlama selama 12 jam.

Katanya lagi, SWCorp menyasarkan 1.6 juta tenaga kerja bagi mencapai sasaran penglibatan lima peratus sukarelawan daripada jumlah populasi memandangkan pencapaian Malaysia setakat ini berada pada tahap 0.319 peratus, meningkat 0.22 peratus berbanding 2023.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan SWCorp sejak 2020 hingga 2024 berjaya merekodkan penyertaan sukarelawan seramai 166,557 orang dan sebanyak 6,304,075 kg bersamaan 6,304 MT sisa dikumpulkan.



“Berdasarkan purata, setiap sukarelawan mengutip 37.85 kg sisa di 2,131 lokasi di seluruh negara.

“Acara ini bukan hanya menekankan mengenai aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa, malah diperluaskan kepada program lain seperti Kayuhan World Cleanup Day bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Sambutan World Cleanup Day Peringkat Kebangsaan 2024 yang diadakan di Dataran Kurong Tengar, Perlis,” ujar beliau.

Penglibatan pelbagai agensi dalam aktiviti pembersihan mendidik peserta lebih cakna tentang penjanaan sisa.
Penglibatan pelbagai agensi dalam aktiviti pembersihan mendidik peserta lebih cakna tentang penjanaan sisa.



Sepanjang perjalanan, Tuanku Syed Faizuddin sempat mencemar duli merasmikan Projek Pembinaan Arca ‘Sang Kerapu’ yang diperbuat daripada bahan kitar semula di Kampung Seberang Damai dan menyantuni tiga rumah asnaf sambil menyampaikan sumbangan melalui program kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli sempena World Cleanup Day 2024.

Pertandingan terbuka buat penganjur, sukarelawan Khalid memberitahu, pertandingan terbuka khusus buat agensi pelaksana dan sukarelawan turut diadakan merangkumi beberapa kategori seperti anugerah Agensi Terbaik, Penyertaan Sukarelawan Terbanyak Setiap Penganjur, Kutipan Terbanyak, Khas Agensi, Khas Sukarelawan serta Promosi World Cleanup Day Terbaik.

Jelasnya, johan setiap kategori membawa pulang wang berjumlah RM3,000, surat dan sijil penghargaan manakala Promosi World Cleanup Day Terbaik pula memenangi baucar bernilai RM50 khas buat 10 pemenang bertuah.

“Justeru, SWCorp berterima kasih kepada semua agensi yang menyahut cabaran World Cleanup Day tahun ini tidak kira dari segi bantuan kerjasama mahupun pelaksanaan di lapangan.

“Begitu juga dengan sukarelawan yang sanggup meluangkan masa dan tenaga demi sebuah negara yang bersih. Dengan sasaran lima peratus daripada populasi negara, SWCorp berharap program ini mendapat lebih ramai penyertaan daripada sukarelawan dan agensi pada penganjuran akan datang,” kata Khalid.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!