Kondominium jadi stor dadah bernilai RM4.18 juta diserbu

Khaw Kok Chin (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
Khaw Kok Chin (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kondominium di Bandar Baru Sri Petaling di sini sebagai stor terbongkar selepas diserbu polis pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 25 tahun serta merampas dadah dianggarkan bernilai RM4.18 juta.

"Peranan dua individu itu adalah penjaga stor yang dibayar upah sebanyak RM5,000 dan pembantu penjaga stor itu pula menerima 'token' belanja harian.

"Sindiket itu dipercayai mula aktif sejakApril lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Kok Chin berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari JSJN IPK Kuala Lumpur menahan dua lelaki itu di lif kondominium berkenaan pada jam 3.30 petang.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua individu itu menjumpai 15 bungkusan dadah syabu dan heroin," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah unit kondominium itu, polis menjumpai 115 bungkusan warna biru dan warna keemasan berisi dadah syabu.

"Kita turut menjumpai 40 bungkusan plastik berisi dadah heroin. Jumlah anggaran berat dadah yang dirampas adalah 124 kilogram (kg) dadah syabu dan 21 kg dadah heroin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 728,000 penagih.

"Pasukan serbuan turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang disewa oleh suspek bagi tujuan penghantaran dadah kepada pembeli," katanya.

Kok Chin berkata, semakan lanjut mendapati hanya salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Saringan awal polis mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis tetrahydrocannabinol(thc).

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!