Kebakaran: Bahan kitar semula dari Taiwan untuk hasilkan biodiesel
KOTA BHARU - Barangan kitar semula yang terbakar dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2 di sini diimport dari Taiwan untuk menghasilkan biodiesel.
Stok bekalan yang dikumpulkan beberapa bulan lalu itu untuk diproses menjadi biodiesel di sebuah kilang yang terletak tidak jauh daripada kawasan sama apabila mesin untuk memprosesnya tiba pada November nanti.
Barangan dalam timbunan setinggi tiga hingga empat meter dengan keluasan kira-kira 0.6 hektar tersebut antaranya mengandungi bahan mudah terbakar getah dan polivinil klorida (PVC) sekali gus menyukarkan kerja-kerja memadam api oleh pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, selepas 14 jam operasi pemadaman dijalankan bermula 6 petang Ahad, sekitar 40 peratus api di bahagian permukaan dapat dipadamkan.
Katanya, pihaknya juga menggunakan kaedah semburan air dan buih bagi memadam api pada bahan mudah terbakar itu.
“Operasi kami seterusnya pada hari ini (Isnin) akan tertumpu bagi memadam api di bahagian dalam barangan yang terbakar.
“Sekitar 60 peratus api masih membakar barangan kitar semula untuk dijadikan biodiesel ini dan operasi dijangka mengambil masa hingga tiga hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.
Kebakaran bermula kira-kira pada jam 5.30 petang Ahad itu turut mengakibatkan asap hitam tebal di sekitar kawasan berkenaan.
Seramai 40 anggota serta pegawai bomba dari BBP Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Pasir Tumbuh terlibat dalam operasi itu.
Operasi dijalankan menggunakan lima jentera, tiga lori tangki air bomba dan bekalan air dari lori tangki Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Zukeri selainnya menasihatkan penduduk berhampiran supaya berwaspada dan mengelak daripada menghidu asap kebakaran terbabit.
“Ada juga lori tangki air bomba dari Rantau Panjang dan tambahan bantuan lori tangki air dari bomba Tanah Merah.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada AKSB kerana tidak putus menghantarkan bekalan sebanyak lima lori tangki air setakat ini,” katanya Zukeri.
Beliau memberitahu, bomba juga berkemungkinan akan menggunakan jengkaut untuk memudahkan operasi memadam kebakaran pada bahagian dalam barangan terbakar tersebut.
Operasi bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke lima premis termasuk kilang perabot dan sebuah pusat servis kenderaan Ford yang terletak bersebelahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!