Pulau Pinang lulus dasar cadangan naiktaraf BKSA

Zairil dan Ketua Jurutera BKSA, Najwa Juaini Azmi menunjukkan draf akhir Enakmen Sumber Air yang akan dibentangkan pada 25 Mei kepada Lembaga Sumber Air Pulau Pinang.
Zairil dan Ketua Jurutera BKSA, Najwa Juaini Azmi menunjukkan draf akhir Enakmen Sumber Air yang akan dibentangkan pada 25 Mei kepada Lembaga Sumber Air Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGE TOWN - Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang telah meluluskan secara dasar cadangan menaik taraf Bahagian Kawal Selia Air Pulau Pinang (BKSA) kepada Lembaga Sumber Air Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kelulusan itu dibuat pada 25 September yang lalu.

Menurutnya, penubuhan Lembaga Sumber Air adalah langkah penting dalam usaha untuk memantapkan pengurusan sumber air di Pulau Pinang.

"Enakmen yang dicadangkan ini akan merangkumi lima teras utama iaitu pengurusan dan perlindungan sumber air, penggunaan sumber air, pemuliharaan sumber air, penguatkuasaan dan kesalahan serta penalti.

"Melalui Lembaga Sumber Air ini, kerajaan negeri akan berupaya untuk menguruskan sumber air dengan lebih menyeluruh dan komprehensif dengan punca kuasa enakmen serta peraturan dan kepakaran yang bersesuaian," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Isnin.

Tambah Zairil, Lembaga Sumber Air juga akan membenarkan kerajaan negeri untuk meningkatkan kawalan pencemaran dan perlindungan sumber air melalui beberapa mekanisme.

"Antara mekanisme itu adalah pelesenan ke atas pengusaha, pengendali atau pemilik yang menjalankan aktiviti-aktiviti berkait sumber air seperti pengabstrakan air.

"Selain itu, pengenaan caj ke atas pelepasan bahan pencemar juga dapat diperkenalkan bagi membantu mengawal kualiti sumber air di samping menjadi sumber hasil kepada kerajaan negeri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zairil, kerajaan negeri kini dalam proses semakan draf akhir Enakmen Sumber Air dan Rang Undang-undang bagi tujuan ini disasarkan akan dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada Mei 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!